ARTIKEL

Awang Tengah semasa mengadakan kunjungan hormat ke Perbandaran Kota Győr, Hungary.

Sarawak teliti model pembangunan bandar sempadan Győr di Hungary perkasakan Limbang dan Lawas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak sedang meneliti model pembangunan bandar sempadan Győr di Hungary bagi memperkukuh perancangan pembangunan Limbang dan Lawas sebagai hab pertumbuhan baharu di utara negeri ini menjelang 2030.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, lawatan rasmi ke Győr bertujuan memahami bagaimana bandar tersebut berjaya memanfaatkan kedudukan strategiknya, asas perindustrian yang kukuh serta jaringan serantau untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan tanpa menjejaskan kualiti hidup penduduk.

Menurutnya, pengalaman Győr amat relevan dengan perancangan pembangunan wilayah utara Sarawak khususnya Limbang dan Lawas yang terletak berhampiran Brunei Darussalam, Sabah dan Kalimantan, Indonesia.

“Kita amat berminat mempelajari bagaimana Győr berkembang sebagai ekonomi bandar sempadan terutama dalam aspek pembangunan industri, pertumbuhan bandar, mobiliti, pembangunan tenaga kerja dan kesalinghubungan serantau.

“Mereka membuktikan sesebuah bandar mampu memanfaatkan lokasi strategik, rangkaian pengangkutan, tenaga kerja mahir dan ekosistem pelaburan bagi meningkatkan daya saing ekonomi sambil mengekalkan persekitaran bandar yang kondusif untuk didiami,” katanya semasa kunjungan hormat ke Perbandaran Kota Győr.

Tambahnya, bandar tersebut merupakan contoh terbaik bagaimana sebuah bandar sempadan boleh muncul sebagai pusat utama industri, logistik, pendidikan dan perkhidmatan dengan memanfaatkan kedudukannya yang hampir dengan pasaran utama Eropah.

Jelasnya, Sarawak ingin memahami bagaimana bandar itu mengurus pembangunan industri, peluasan kawasan bandar, kesiapsiagaan tenaga kerja, sistem mobiliti dan kesalinghubungan wilayah secara seimbang dan terselaras bagi memastikan daya saing jangka panjang.

“Antara aspek utama yang diberi perhatian ialah pendekatan Győr dalam mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kebolehdiaman bandar menerusi penyediaan perumahan berkualiti, rangkaian pengangkutan yang cekap, kemudahan awam, pengurusan alam sekitar serta infrastruktur sosial yang komprehensif.

“Antara hasil yang diharapkan daripada lawatan ini ialah mengenal pasti amalan terbaik yang boleh diterapkan dalam Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2030.

“Ia meliputi aspek perancangan bandar sempadan, kedudukan ekonomi, strategi guna tanah, kesalinghubungan, logistik, pembangunan pelancongan, kemudahan awam, reka bentuk bandar serta penyelarasan rentas sempadan,” katanya.

Tambahnya, pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh akan membantu merangka strategi pembangunan masa depan yang lebih berkesan bagi Limbang dan Lawas supaya kemajuan ekonomi yang dicapai dapat diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat setempat.

“Usaha tersebut selari dengan aspirasi Sarawak untuk membangunkan wilayah utara sebagai pusat pertumbuhan yang berdaya saing, mempunyai hubungan serantau yang kukuh serta mampu menarik pelaburan dan mewujudkan peluang ekonomi mampan kepada rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata, pembangunan Limbang dan Lawas sebagai bandar sempadan yang moden dan berhubung secara strategik dengan negara jiran juga akan memperkukuh integrasi serantau serta menyokong agenda pembangunan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU