KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang giat melaksanakan 84 projek pembinaan bilik darjah tambahan di sekolah-sekolah di Sarawak.
Menurut KPM dalam kenyataan, ia melibatkan pembinaan 210 bilik darjah tambahan yang merangkumi 140 bilik darjah aliran perdana dan 70 bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
“Anggaran kos bagi projek tersebut adalah sebanyak RM81.5 juta bagi menampung pertambahan seramai 4,900 murid aliran perdana dan 700 murid aliran PPKI,” katanya.
Manakala di Sabah pula, KPM melaksanakan 73 projek melibatkan pembinaan 112 bilik darjah tambahan yang merangkumi 92 bilik darjah perdana dan 20 bilik darjah PPKI.
Ia melibatkan anggaran kos sebanyak RM58 juta bagi menampung pertambahan seramai 3,920 murid aliran perdana dan 200 murid aliran PPKI.
Terdahulu, KPM berkata pihaknya menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana sedang giat melaksanakan projek pembinaan bilik darjah tambahan di sekolah-sekolah bagi memenuhi keperluan pertambahan murid Tahun 1 bagi sesi Kalendar Akademik 2027.
Katanya sejumlah RM668 juta telah diperuntukkan bagi tujuan pelaksanaan 524 projek yang melibatkan pembinaan sebanyak 1,780 bilik darjah tambahan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Ia merangkumi pembinaan 1,255 bilik darjah aliran perdana dan 525 bilik darjah PPKI bagi menampung pertambahan seramai 43,925 murid aliran perdana dan 5,250 murid aliran PPKI,” katanya.
KPM menambah ketika ini, beberapa projek telah berjaya disiapkan mendahului jadual termasuk SK Durian Mas, SK Banggol Peradong dan SK Kampong Tengah di Terengganu.
Manakala, katanya projek lain dijangka siap sepenuhnya secara berperingkat menjelang Disember 2026 untuk persediaan menerima pertambahan murid Tahun 1 pada sesi akademik yang akan datang.
“Pembinaan projek bilik darjah tambahan yang sedang giat berjalan di seluruh negara adalah cerminan komitmen jitu kerajaan terhadap agenda pendidikan negara dan bagi memastikan pelaksanaan kemasukan murid umur enam tahun ke Tahun 1 berjalan lancar seperti yang dirancang,” katanya.


