KUCHING: Sarawak meneroka untuk memperluas jaringan grid tenaga ke Selatan Filipina, Laos dan Myanmar sebagai sebahagian daripada usaha menghubungkan sistem tenaga Borneo dengan rangkaian Grid Tenaga ASEAN.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan ini merupakan antara potensi peluasan jaringan tenaga Sarawak selepas negeri ini menghubungkan sistem elektriknya dengan Kalimantan, Sabah dan bakal berhubung dengan Brunei.
“Kita menyalurkan tenaga ke Indonesia, Kalimantan dan perkara itu dilakukan kira-kira lima tahun.
Kini, kita (Sarawak) menghasilkan tenaga bagi membantu Sabah, dan tidak lama lagi negara Brunei.
“Dalam erti kata lain, kita mempunyai Grid Tenaga Borneo yang dikongsi bersama negara jiran.
Mungkin dari situ terdapat kemungkinan untuk menghubungkannya dengan Selatan Filipina.
“Di sebelah lain ASEAN pula, terdapat laluan dari Laos, Myanmar hingga ke Singapura.
Kita kini sedang berbincang dengan Singapura untuk membekalkan tenaga kepada negara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog sempena Perhimpunan Agung ke-34 Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) serta Kongres Kejuruteraan Dunia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.
Abang Johari berkata, Sarawak menyasarkan pengeluaran tenaga sebanyak 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15 GW pada 2035, manakala keperluan domestik negeri dianggarkan antara tujuh hingga lapan GW.
Katanya, lebihan tenaga itu boleh dikongsi bersama negara jiran, sekali gus membolehkan Sarawak memainkan peranan dalam memenuhi keperluan tenaga serantau.
Sementara itu, Abang Johari mendedahkan beliau akan mengetuai delegasi Sarawak ke Manila, Filipina minggu hadapan bagi mengadakan perbincangan dengan Asian Development Bank (ADB).
Katanya perbincangan itu akan menyentuh berhubung isu strategik berkaitan pembangunan ASEAN Power Grid serta pembangunan di Sarawak dan Malaysia, khususnya di rantau ASEAN bahagian selatan.


