KUCHING: Edisi ketiga Anugerah Ekonomi Digital (DEA) yang dianjurkan oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), meraikan lima pemenang, masing-masing diiktiraf atas sumbangan mereka kepada ekonomi digital Sarawak.
Penerima masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM10,000, manakala DEA Premier bernilai RM20,000, disampaikan kepada seorang pemenang yang paling cemerlang.
Majlis penyampaian anugerah ini diadakan sebagai sebahagian daripada program sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi memuji acara tersebut, mengatakan bahawa ia melambangkan komitmen Sarawak untuk membina ekonomi digital yang kukuh serta aspirasi untuk menjadi peneraju dalam transformasi digital di rantau ini.

“Anugerah yang disampaikan ini bukan sahaja mengiktiraf usaha keras dan dedikasi para calon, tetapi juga menonjolkan potensi transformasi digital sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, kemajuan masyarakat dan pembangunan mampan, yang diilhamkan oleh visi dan kepimpinan Premier kita.
“Anugerah yang diraikan pada malam ini bukan sahaja mengenai pengiktirafan pencapaian, tetapi juga untuk memberi inspirasi kepada inovasi masa hadapan.
“Masa depan digital Sarawak terletak di tangan para perintis, inovator dan pemikir-pemikir yang berani berfikir di luar kebiasaan, bekerjasama dan menolak sempadan untuk membawa perubahan yang berkekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Gala IDECS 2024 di BCCK, pada Khamis, sambil disaksikan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sementara, pemenang yang berjaya termasuk MyContent Distribution Sdn Bhd dianugerahkan Anugerah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) atas projek ‘Penerimaan Digital MyContent Distribution’, sekali gus merangkul DEA Premier 2024 yang berprestij.
Sementara, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) memenangi Anugerah Penyelidikan dan Pembangunan atas projek aplikasi mudah alih inovatif mereka, ‘Sistem Saringan Retinopati Diabetik (DR) Berasaskan Telefon Pintar Menggunakan Klasifikasi CNN Pembelajaran Mendalam’.
Evolving Brilliance Technologies Sdn Bhd memenangi Anugerah Permulaan Teknologi bagi projek mereka ‘Sistem Pengurusan Pengoptimuman Proses (POMAS)’.
Unit Pendigitalan Perkhidmatan Awam Sarawak membawa pulang Anugerah Kerajaan Digital dengan inisiatif SCS Mobile+, yang bertujuan meningkatkan transformasi digital dalam perkhidmatan kerajaan.
Selain, Jabatan Hutan Sarawak telah diiktiraf dengan Anugerah Kelestarian atas projek ‘Kempen Penghijauan Sarawak (Pemulihan Landskap Hutan): Menukar Komitmen Menjadi Kanopi’.
Sehubungan itu, Julaihi menggalakkan semua peserta terlibat dalam ekonomi digital Sarawak untuk terus berusaha dan menonjolkan pencapaian masing-masing.
“Sama ada anda sebuah syarikat permulaan, perniagaan kecil, penyelidik atau institusi awam, kerja anda berpotensi membentuk masa depan Sarawak dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengikuti jejak langkah anda,” tambahnya.

