KUCHING: Sarawak dipilih menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung Trienal Ke-22 Majlis Antarabangsa Monumen dan Tapak-Tapak Bersejarah (ICOMOS G-A-2026) pertama di Asia Tenggara pada 17 hingga 24 Oktober 2026.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, acara yang bakal diadakan di Kuching itu dianggarkan mampu mencipta impak ekonomi keseluruhan sebanyak RM16.3 juta; dan perbelanjaan terus oleh wakil sebanyak RM8.9 juta, dengan hasil cukai sejumlah RM984,000.
“Acara ini juga akan mewujudkan sebanyak 1,301 peluang pekerjaan untuk komuniti di Kuching,” katanya pada sidang media berhubung penganjuran itu yang diadakan di Baitul Makmur II, Petra Jaya di sini, petang tadi.
Sementara itu penganjuran acara itu merupakan kali pertama acara antarabangsa seumpama ini diadakan di Malaysia dan Asia Tenggara secara amnya.
Pada masa sama Abdul Karim berkata, acara ini dijangka mampu menarik 2,000 pakar dan profesional warisan budaya dari 130 negara terlibat.
“Mereka akan mengambil bahagian secara aktif dalam mesyuarat selain melawat tapak-tapak warisan budaya dan alam semula jadi di sekitar Sarawak dan Malaysia,” katanya.
Sementara itu kata Abdul Karim, kejayaan memenangi tawaran penganjuran ICOMOS G-A-2026 memberikan manfaat kepada sosial, budaya, dan ekonomi yang positif kepada negeri dan negara sejajar Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 selain komitmen Malaysia dalam pemeliharaan serta pengurusan warisan budaya.
Katanya, ia juga secara tidak langsung menunjukkan kemampuan Sarawak sebagai destinasi acara perniagaan dan kejayaan kempen acara perniagaan peringkat Sarawak, Tribe Legacy Sarawak, dalam memenangi acara antarabangsa melalui kerjasama dengan pelbagai pihak.
‘’Sarawak adalah tempat tinggal kepada pelbagai etnik, budaya dan tradisi yang menjadikan negeri ini sebagai identiti yang unik serta kuat. Oleh itu, memelihara tapak-tapak warisan budaya dan bangunan adalah penting untuk mengekalkan hubungan dengan sejarah, budaya, serta komuniti.
‘’Bagaimanapun, dengan perubahan pembandaran yang cepat pada masa ini, ia menjadi salah satu cabaran untuk seimbangkan pembangunan dan pemuliharaan budaya,’’ ujarnya.

