KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) menyelar kenyataan pihak Rimbawatch yang mengatakan Sarawak bakal kehilangan lebih banyak kawasan hutan berdasarkan kajian ke atas unjuran yang telah dibuat oleh Global Forest Watch.
Tegas JHS, andaian yang telah dibuat oleh Rimbawatch adalah berdasarkan persepsi melihat pembukaan kawasan tanah bagi tujuan pembangunan.
Manakala katanya, artikel bertajuk “Alarming Loss of Forest Cover” yang diterbitkan oleh New Straits Times pada Selasa lalu adalah tidak benar.
“Memang terdapat kawasan tanah yang dibuka untuk tujuan pembangunan pelbagai sektor seperti pertanian, pembukaan bandar, perumahan, industri dan sebagainya.
“Bagaimanapun, Sarawak sedaya upaya untuk mengimbangi pembangunan ini dengan kelestarian alam sekitar, lebih-lebih lagi dalam mengekalkan kawasan hutan di Sarawak,” katanya.
Tambah JHS, berdasarkan Polisi Penggunaan Tanah Sarawak 2012, ia telah menetapkan tujuh juta hektar bagi tujuan guna tanah perhutanan.
Daripada jumlah ini katanya, hutan simpan kekal berjumlah enam juta hektar dan bagi tujuan kawasan terlindung sepenuhnya berjumlah satu juta hektar.
“Ini membuktikan bahawa Sarawak kini membangun pesat menuju ke arah negeri maju menjelang tahun 2030 seiring dengan agenda utama dalam Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030) iaitu Kelestarian Alam Sekitar,” ujarnya lagi.
Manakala bagi Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri Dua, JHS mendedahkan bahawa laporan tersebut telah merumuskan hutan di Sarawak telah diurus secara berkekalan bagi manfaat sosioekonomi dan mengekalkan kelestarian alam sekitar.
Untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar, katanya beberapa program dijalankan dalam memastikan usaha-usaha pemuliharaan rehabilitasi hutan.
“Antaranya program penanaman pokok secara besar-besaran di seluruh Sarawak, melalui Greening Sarawak Campaign dan Penghijauan Malaysia.
“Selain itu, mengurangkan kadar penebangan pembalakan hutan, dengan mengguna kaedah pembalakan berimpak rendah iaitu Reduce Impact Longging (RIL).
“Kita juga mengurangkan kebergantungan hasil pendapatan Sarawak dari sumber perkayuan kepada sumber ekonomi baharu seperti Perdagangan Karbon,” ujarnya.




