PUTRAJAYA: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan di Wisma Putra semalam.
Kunjungan tersebut adalah untuk memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Sarawak dengan Kementerian Luar Negeri.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengeratkan kerjasama khususnya dalam memperluas jaringan diplomatik Sarawak di peringkat antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan menzahirkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyokong agenda perdagangan luar Malaysia.
“Ini termasuk menerusi penyertaan dalam misi perdagangan antarabangsa yang dilaksanakan oleh Wisma Putra serta agensi berkaitan,” tambahnya.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dari Kerajaan Sarawak dan Kementerian Luar Negeri Malaysia.


