SARIKEI: Kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif dalam mengekalkan status daerah ini sebagai pengeluar nanas berkualiti tinggi.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, hasrat itu diperkasakan melalui kewujudan taman agro Sarikei yang kini dalam pembinaan dan dijangka beroperasi tidak lama lagi.
Malah katanya, kerajaan turut menggalak penglibatan aktif masyarakat setempat bagi memastikan mereka berupaya menjana ekonomi melalui pengeluaran nanas secara komersial.
“Melalui taman agro ini, kita akan memperkenalkan pelbagai kaedah tanaman baharu termasuk untuk tanaman nanas.
Sehubungan itu, kita menggalak penyertaan komuniti setempat agar mereka mengambil peluang daripada kemudahan yang disediakan itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau berkata, sektor pertanian Sarikei mempunyai potensi sangat besar kerana dari segi sejarahnya, bahagian ini merupakan pengeluar bagi beberapa komoditi utama seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.
Malah ujarnya, pengeluaran dan penanaman lada serta nanas dan buah-buahan lain juga bermula di Bahagian Sarikei.
“Saya optimis, hasrat Kerajaan Sarawak untuk merealisasikan Sarikei sebagai bakul makanan akan menjadi kenyataan dengan pelbagai usaha yang sedang rancak dilaksanakan.
“Bagi tujuan itu, sudah pastinya tumpuan tidak hanya tertumpu dalam sektor pengeluaran nanas, tetapi juga pelbagai komoditi lain yang mempunyai potensi pasaran masa depan yang cerah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga ADUN Kuala Rajang berkata, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai usaha bagi meningkatkan penglibatan golongan muda dalam bidang berkenaan.
Katanya, kurangnya penyertaan golongan muda dalam bidang pertanian kerana persepsi terhadap sektor itu yang dianggap tidak memberikan pulangan yang menguntungkan. “
Namun pengeluaran dapat ditingkatkan sekali gus memberi pulangan dan pendapatan yang lebih tinggi dengan adanya teknologi moden.
Justeru anggapan seperti itu perlu dikikis,” ujarnya.


