ARTIKEL

KENANGAN… Abdul Karim merakam gambar bersama-sama tetamu kenamaan lain pada sidang media sempena Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di sini, hari ini.

Sasar 7,000 orang memeriahkan Minggu Belia Sarawak 2026 di Samarahan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak menyasarkan penyertaan seramai 7,000 belia bagi memeriahkan Minggu Belia Sarawak 2026 yang akan berlangsung di Bahagian Samarahan dari 10 hingga 16 Ogos ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran kali ini bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform besar dalam memperkasakan potensi belia melalui pendekatan menyeluruh merangkumi pembangunan sahsiah, ekonomi dan sosial.

“Acara kemuncak sambutan itu ialah Anugerah Belia Sarawak yang akan memberi pengiktirafan kepada sumbangan individu serta persatuan belia dalam pembangunan negeri.

“Majlis perasmian Minggu Belia Sarawak 2026 akan diadakan pada 15 Ogos jam 10.30 pagi di Dewan Suara Samarahan dan akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Anugerah ini bukan sahaja memberi penghargaan, malah menjadi platform untuk melahirkan ikon belia di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media sempena Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di sini, hari ini.

Tambah beliau, pemenang Anugerah Belia Sarawak akan menerima trofi, sijil serta wang tunai iaitu RM5,000 bagi kategori individu lelaki dan wanita, RM10,000 bagi johan persatuan belia serta RM7,000 bagi naib johan.

Mengulas lanjut, pemilihan Samarahan sebagai lokasi penganjuran adalah tepat memandangkan kawasan itu merupakan hub pendidikan utama Sarawak yang menempatkan institusi pengajian tinggi serta mempunyai jumlah belia yang besar.

“Tema tahun ini kekal iaitu ‘Belia Aspirasi Kita’ yang membawa maksud belia adalah harapan, masa depan dan agen perubahan kepada pembangunan negeri dan negara,” ujarnya.

Menurut Abdul Karim, pelbagai pengisian telah disusun menerusi tiga komponen utama iaitu Youth Champion, Youth Active dan Youth Marketplace yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, kesihatan mental, sukan serta keusahawanan belia.

“Antara program yang akan berlangsung termasuk Youth Combat, sesi Youth Therapy: Mental Health pada 11 Ogos di Canopy Youth Space, serta Youth Expo, Youth Camp, Wall Climbing dan Youth Got Talent.

“Selain itu, Konsert Belia Sarawak turut diadakan pada malam 15 Ogos sebagai acara kemuncak hiburan yang menampilkan artis tempatan dan jemputan termasuk Baby Shima bagi memeriahkan sambutan,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi komponen Youth Active, pelbagai aktiviti sukan akan dianjurkan seperti Heritage Run, Fun Run, Fun Ride serta e-sukan yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 16 Ogos.

“Sementara itu, Youth Marketplace akan menyediakan 30 gerai usahawan belia yang menawarkan pelbagai produk termasuk makanan, minuman, pakaian serta barangan kraf dan hasil pertanian tempatan,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU