KUCHING: Sarawak mengemukakan surat kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai tanda bersedia untuk dipilih menjadi salah satu lokasi penganjuran Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau sendiri yang menandatangani surat tersebut sebelum ia dihantar ke Kuala Lumpur.
“Di Malaysia, kalau tidak silap sudah enam kali diadakan dan semuanya di Kuala Lumpur, bagilah peluang dengan tempat-tempat lain yang berkebolehan.
“Sarawak menghantar surat susulan niat untuk menghoskan (Sukan SEA), kalau semua di sini pun boleh juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Sarawak terlibat sekiranya Malaysia menjadi tuan rumah pada Sukan SEA 2027.
Tegas Karim, surat tersebut sebagai bukti Sarawak serius untuk menjadi sebahagian daripada lokasi penganjuran Sukan SEA.
“Surat dari Sarawak itu bertujuan untuk memberitahu bahawa kita bersedia dan berapa jumlah komitmen kita untuk menjadi penganjur.
“Ada 18 acara akan dipertandingkan, di Sarawak kita disuruh untuk dipilih…KBS beritahu sukan mana yang mungkin dipertandingkan di Sarawak, pilih lebih kurang antara itu dan selebihnya ke Kuala Lumpur,” katanya.
Bagaimanapun katanya, cadangan terbabit belum diputuskan secara menyeluruh.


