KUCHING: Persatuan Badminton Sarawak (SBA) hari ini melakar satu detik bersejarah apabila menerima secara rasmi Surat Pelepasan Penggantungan Pendaftaran yang ditandatangani oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam satu majlis di Dewan Badminton SBA, Kuching sebentar tadi.
Surat pelepasan tersebut diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Ad Hoc SBA, Azizul Annuar Pehin Sri Haji Adenan kepada Setiausaha Kehormat SBA, Datuk Dr Wan Khalik Wan Muhammad, yang mewakili badan induk berkenaan.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Encik Suhardi Alias, wakil dari Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) serta barisan ahli jawatankuasa SBA.
Penggantungan pendaftaran SBA yang dikenakan sebelum ini telah diteliti semula oleh pihak kementerian setelah mendapati bahawa langkah remedi dan pembaharuan pentadbiran yang disarankan telah berjaya dilaksanakan melalui Jawatankuasa Ad Hoc.
Datuk Dr Wan Khalik ketika berucap pada majlis tersebut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kementerian, PJS dan khususnya kepada Pengerusi Jawatankuasa Ad Hoc SBA, Azizul Annuar Pehin Sri Haji Adenan atas kepercayaan yang diberikan kepada pasukan pengurusan baharu SBA.
“Majlis ini bukan hanya penutup kepada satu episod, tetapi menjadi permulaan kepada lembaran baharu pembangunan badminton di Sarawak.
“SBA di bawah kepimpinan Presiden yang baharu, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar beriltizam untuk memacu semula kecemerlangan sukan ini dengan tadbir urus yang lebih baik, penglibatan akar umbi yang lebih menyeluruh dan kerjasama strategik dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta agensi berkaitan,” ujar beliau.
Beliau menegaskan, dengan pemulihan status pendaftarannya, SBA kini bersedia untuk melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program pembangunan bakat muda, penganjuran kejohanan dalaman dan kebangsaan serta memperkukuh jaringan kerjasama dengan bahagian di seluruh Sarawak.
Katanya, SBA juga akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MYSED melalui SSC bagi merangka pelan pembangunan menyeluruh untuk mengangkat semula sukan badminton Sarawak ke tahap yang lebih tinggi.
“SBA turut mengulangi komitmennya untuk memastikan prinsip integriti, ketelusan dan profesionalisme menjadi teras utama dalam setiap aspek pentadbiran dan operasinya,” tambah beliau.


