ARTIKEL

Sagah diiringi tetamu kehormat yang lain melawat ke reruai pameran.FOTO: RAMIDI SUBARI

SCaT Fair 2025 satu visi besar untuk Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT Fair) 2025 memainkan peranan penting untuk merapatkan aspirasi belia dengan peluang transformatif yang wujud dalam ekosistem inovasi di negeri ini.

Sagah membacakan teks ucapan Premier sempena Majlis Perasmian Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT Fair) 2025 di BCCK, di sini, hari ini.FOTO: RAMIDI SUBARI

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia penting bukan sahaja daripada pembuatan maju dan bioteknologi tetapi juga dalam sektor ekonomi digital dan tenaga boleh diperbaharui.

Katanya, SCaT Fair bukan sekadar acara pengambilan pekerja tetapi merupakan sebahagian daripada strategi yang lebih besar untuk memperkukuh modal insan Sarawak dan memastikan tiada sesiapa yang tercicir.

“Hari ini (5 Julai) kita berkumpul di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), bukan sekadar sebagai peserta pameran kerjaya, tetapi sebagai penyumbang aktif kepada perjalanan strategik Sarawak dalam membina ekosistem modal insan yang kukuh dan mampan.

“Program ini juga merupakan sebahagian daripada usaha terancang dan berpandangan jauh kita untuk memperkukuh tenaga kerja Sarawak dan memastikan rakyat kita benar-benar bersedia menghadapi permintaan ekonomi global yang sentiasa berubah-ubah,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn sempena Majlis Perasmian Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT Fair) 2025 di BCCK, di sini, hari ini.

Sagah (tiga – hadapan) mewakili Premier menyempurnakan Majlis Perasmian SCat Fair 2025 sekali gus disaksikan oleh tetamu kehormat yang lain.FOTO: RAMIDI SUBARI

Abang Johari menambah, penanda aras global seperti Indeks Modal Insan Malaysia yang diperkenalkan oleh Bank Dunia pada 2018, menyerlahkan keperluan mendesak untuk melabur dalam pembangunan rakyat.

“Indeks ini bukan sekadar satu angka, tetapi merupakan kompas untuk pembuat dasar, majikan dan pendidik. Ia menunjukkan hala tuju ekonomi kita dan mengenal pasti bidang-bidang yang paling memerlukan penambahbaikan terutamanya pendidikan, kesihatan dan kesediaan untuk bekerja,” ujarnya.

“Rakyat yang dilengkapi dengan kemahiran, pengetahuan dan pemikiran yang betul akan memacu inovasi, mengubah industri dan memastikan pertumbuhan inklusif untuk generasi akan datang,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai SCaT Fair, beliau memberitahu ia lebih daripada sekadar acara kerjaya biasa dan merupakan satu visi besar untuk Sarawak.

Dalam hal berkaitan, Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada MEITD dan TEGAS kerana sentiasa konsisten menganjurkan program ini, sambil memuji kerjasama mereka bersama agensi seperti TalentCorp, PERKESO, serta pemain industri utama seperti Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan PETRA Energy Berhad yang menunjukkan komitmen teguh dalam membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran dan bersedia untuk masa hadapan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU