KUCHING: Sarawak Dayak National Union (SDNU) Cawangan Kuching telah melantik barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2025-2028 dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-9 yang berlangsung di sini semalam.
Pemilihan tersebut diselaraskan oleh tiga wakil SDNU Pusat, iaitu Pengerusi SDNU Cawangan Bandar Riyal, Belayong Pok; Bendahari Agung SDNU Pusat, Jetphre Empali; dan Setiausaha Eksekutif SDNU Pusat, Spencer Birai.
Dalam mesyuarat berkenaan, Thadeus Ling Allu dikekalkan sebagai Pengerusi, manakala Petrus Ngalih Tingi dilantik sebagai Timbalan Pengerusi baharu, menggantikan Gat Belabot yang tidak mempertahankan jawatannya.
Turut dilantik ialah Dr. Stanley Abang sebagai Setiausaha dan Alice Vynar sebagai Bendahari.
Pelantikan ini dibuat sebagai persiapan SDNU Kuching untuk menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya tahun ini, dengan Thadeus menegaskan komitmen untuk melaksanakan program yang lebih mantap dan menyeluruh.
Menurut Thadeus, tahun 2025 amat signifikan kerana SDNU Cawangan Kuching akan menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya.
“Kita bukan sekadar menyambut jubli, tetapi juga melancarkan pelan strategik baharu yang lebih menyeluruh,” ujarnya.
Beliau menjelaskan pelan tiga tahun akan datang akan memberi tumpuan kepada empat teras utama, iaitu pendidikan, kebudayaan, kebajikan, dan pembangunan belia.
Antara program utama yang dirancang termasuk Kursus Pertanian Moden secara kolaboratif dengan Jabatan Pertanian, Karnival Kebudayaan Dayak, dan Program Mentor Belia.
SDNU juga akan mempergiat kerjasama dengan agensi kerajaan, sektor swasta, dan institusi pendidikan untuk melaksanakan lebih banyak program kemasyarakatan.
Dengan keahlian melebihi 1,000 orang dan kerjasama erat bersama Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS), SDNU Cawangan Kuching dijangka terus menjadi wadah utama dalam memartabatkan masyarakat Dayak di Sarawak.


