KUCHING: Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini Sabtu depan bakal menyaksikan pertembungan dua kumpulan rock legenda, Search dan XPDC, menerusi Konsert Fenomena Samurai yang diangkat daripada judul album terdahulu.
Sejak mencipta nama lebih empat dekad lalu dengan karya agung yang menjadi siulan ramai, kedua-dua kumpulan ini terus terpahat di hati peminat, menjadikan mereka kekal relevan hingga kini.
Mereka turut menjadi mentor dan membuka jalan kepada kumpulan rock generasi baharu meskipun berdepan pelbagai krisis dalaman seperti pertukaran anggota serta pertikaian jenama yang masih belum berkesudahan.
Konsert ini menjadi penanda aras bermakna buat Seri Simfoni Sdn. Bhd. dan Bintang Batu Event yang merencanakan idea tersebut.
Percubaan sulung penganjur ini menerima maklum balas memberangsangkan daripada peminat, khususnya apabila dua kumpulan besar digabungkan di atas satu pentas.

Penganjur, Ikhram Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Atom berkata, pemilihan dua kumpulan ini bertepatan kerana kedua-duanya ikon muzik rock yang dikenali serta mempunyai ribuan peminat di seluruh tanah air.
Search dan XPDC mempunyai banyak karya yang menjadi siulan pendengar, malah lagu-lagu mereka tetap melekat di hati peminat sehingga hari ini.
“Rasanya semua penggemar muzik rock di Malaysia mengenali Search dan XPDC. Lagu-lagu mereka cukup berbekas dan bernostalgia di hati peminat, sehinggakan setiap album mampu terjual ratusan ribu unit. Oleh itu, tidak salah untuk menggabungkan dua kumpulan ini di atas satu pentas.
Di sinilah nanti peminat boleh menyaksikan persembahan bersejarah dengan kualiti muzik yang hebat. Konsert Fenomena Samurai bukan sekadar mengusung sebuah jenama, tetapi menjanjikan penganjuran teliti serta piawaian terbaik dari segi pemilihan lagu, audio dan pencahayaan,” ujarnya.
Kos penganjuran termasuk logistik diakui berlipat kali ganda, namun penganjur optimis konsert ini mencapai sasaran dan bakal mendapat sambutan luar biasa. Kesefahaman antara kedua-dua kumpulan turut menambahkan keyakinan bahawa Konsert Fenomena Samurai akan mendapat sambutan hebat.
Atom menambah, peminat bukan sahaja disajikan dengan seleksi lagu hits, tetapi juga bakal mencipta nostalgia serta merasai roh perjuangan muzik rock Malaysia yang tidak pernah padam sejak dekad 1980-an.
Search yang dibarisi Din (gitar), Kid (gitar), Pasya (vokal), Wan Braka (bass) dan Minn (dram) mengakui konsert ini medan terbaik untuk beraksi dengan wajah baharu melalui sentuhan dua anggota terkini, Pasya dan Wan Braka.
“Apa yang boleh kami katakan, Pasya dan Wan sudah ‘lulus’ untuk bersama Search pada konsert ini nanti. Kami akan memberikan persembahan terbaik dengan seleksi lagu hits yang bakal mengimbau kenangan peminat bersama Search. Pasti ada banyak kejutan, lebih-lebih lagi apabila diberi peluang berkongsi pentas dengan XPDC. Ini sejarah kerana sebelum ini kami tidak pernah berkongsi pentas konsert di Borneo,” ujar Din.
XPDC yang dianggotai Mamu (vokal), Izo (gitar), Arif (gitar), Eddy (bass) dan Lola (dram) menyifatkan peluang berkongsi pentas bersama Search di Borneo ibarat orang mengantuk disorong bantal.
“Ramai beranggapan ini ‘medan tempur’ buat kami, tetapi sebenarnya tidak. Kami mewakili kumpulan masing-masing dan bakal memberikan persembahan terbaik buat peminat. Tiada istilah siapa lebih hebat. XPDC menerima banyak maklum balas daripada peminat, terutamanya senarai lagu yang akan dibawa ketika konsert nanti. Jadi kami beri peluang kepada mereka untuk memilih lagu yang diinginkan kerana peminat merupakan keutamaan kami,” kata Lola mewakili XPDC.
Konsert Fenomena Samurai yang berlangsung selama tiga jam bermula jam 8 malam akan menyaksikan Search dan XPDC beraksi dengan membawakan sekitar 15 hingga 17 lagu hits sepanjang zaman melalui karya terbaik mereka.
Pada sebelah petang sebelum konsert bermula, pentas akan diserikan dengan acara ‘pemanas badan’ melalui persembahan bakat baharu tempatan dari Sarawak bagi menghiburkan pengunjung.
Tiket Konsert Fenomena Samurai boleh didapati secara dalam talian di pautan http://fenomenasamurai.ubertickets.asia/. . Tiket fizikal turut dijual melalui ejen sah dan di pintu masuk mengikut kategori RM359 (VIP), RM269 (mosh), RM149 (gold), RM229 (silver) dan RM129 (bronze).







