KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) akan melalui proses kajian dan penstrukturan semula organisasi sebagai langkah strategik Kerajaan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu dibuat susulan peranan Sarawak yang semakin besar dalam sektor tenaga serantau.
“Ini melibatkan pemisahan antara penjanaan kuasa dan pengagihan. Penjanaan kuasa akan melibatkan pelaburan daripada sektor swasta, manakala SEB akan terus berfungsi sebagai pembeli tunggal bagi pengagihan tenaga elektrik di Sarawak
“SEB perlu diberi kuasa dan keupayaan untuk berkembang seiring dengan aspirasi tenaga Sarawak,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-19 di sini, hari ini.
Beliau berkata, penstrukturan semula itu penting bagi memastikan SEB memiliki keupayaan memacu visi Sarawak untuk menjadi Bateri ASEAN dan kuasa besar tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.
Dalam masa yang sama, Premier menegaskan bahawa keselamatan tenaga merupakan teras kepada pembangunan ekonomi Sarawak yang pesat dan inklusif.
Tambahnya, dalam dasar baharu yang bakal diperkenalkan iaitu Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) menetapkan sasaran agar sumber tenaga boleh diperbaharui merangkumi sekurang-kurangnya 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan campuran tenaga Sarawak menjelang 2035.
“Pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui yang baharu melalui model Penjana Kuasa Bebas (IPP) adalah teras kepada hasrat Sarawak untuk mencapai kapasiti sebanyak 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035.
“Kita telah menyaksikan minat yang tinggi daripada pihak swasta untuk melaksanakan projek tenaga boleh diperbaharui berskala besar termasuk inisiatif tenaga bio dan tenaga daripada sisa buangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa cabaran dalam sektor tenaga perlu ditangani secara menyeluruh termasuk dari segi prasarana, khususnya keperluan mengumpul bahan mentah untuk bioenergi serta pemodenan sistem penghantaran dan pengagihan tenaga bagi menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui secara meluas.
Bagi memperkukuh strategi ini katanya, Sarawak juga sedang membangunkan empat hab tenaga utama iaitu Hab Tenaga Boleh Diperbaharui, Hab Gas Asli, Hab Hidrogen serta Hab Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan empat dasar utama yang merangkumi Pelan Induk Ekonomi Hidrogen Sarawak; Pelan Tindakan Kelestarian Sarawak; Dasar Peralihan Tenaga Sarawak; dan Pelan Induk Kecekapan Tenaga Sarawak.


