SEB jamin tiada gangguan elektrik sepanjang PKP

KUCHING: Sarawak Energy berhad (SEB) yakin dapat menyediakan bekalan elektrik sepenuhnya kepada masyarakat luar bandar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sharbini Suhaili berkata, kebanyakan pelanggan menerima bekalan elektrik menerusi dua rangkaian penghantaran selari yang disambungkan ke loji kuasa utama seperti Bakun dan Murum.

Menurutnya, pelanggan di pedalaman belum dihubungkan dengan grid utama melalui stesen janakuasa terma dan hibrid.

“Hanya diterima oleh masyarakat di dataran tinggi Bario, daerah di pedalaman di sepanjang Sungai Rejang dan daerah terpencil di kawasan Long Lama dan Lawas,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, pasukan operasi SEB di pedalaman berusaha memastikan tiada gangguan dari segi logistik seperti bekalan bahan bakar untuk loji termal dan peralatan termasuk bahan penyelenggaraan.

Pihaknya mempunyai kakitangan yang mengendalikan fungsi kritikal bagi kedua-dua operasi loji jana kuasa dan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, jelanya lagi.

Beliau menegaskan, kesejahteraan dan keselamatan kakitangan Sarawak Energy kekal menjadi keutamaan walaupun tempat kerja jauh.

“Pasukan operasi luar bandar akan sentiasa berkomunikasi dan memberikan perkembangan terkini melalui pengurus dan penasihat dalaman mengenai keadaan Covid-19 di Sarawak serta langkah-langkah perlindungan diri,” ujarnya.

Sharbini berkata, Sarawak telah mencapai 97 peratus elektrifikasi melalui campuran strategi dan berusaha mencapai 99 peratus elektrifikasi pada 2020 ke arah capaian sepenuhnya menjelang 2025.

“Elektrik dianggap sebagai perkhidmatan penting dan sebagai penyedia utama di negeri ini, pasukan fungsi kritikal Sarawak Eneergy akan terus bekerja dari lokasi dan loji asasnya manakala majoriti kakitangan pejabat kini beroperasi dari rumah.

“Dalam menunaikan tanggungjawab untuk membekalkan elektrik kepada rakyat Sarawak, kami akan terus mematuhi semua arahan Majlis Keselamatan Negara dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak untuk membantu kerajaan membendung Covid-19,” tegasnya.

Suara Sarawak