MIRI: Sebuah gudang di sekitar Jalan Lopeng, di sini, diserbu disyaki menjalankan aktiviti pengisian makanan sejuk beku yang menyalahi undang-undang.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, siasatan lanjut oleh pihak Veteriner dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut mendapati pelbagai kesalahan dilakukan oleh gudang tersebut.
“Antaranya, kesalahan di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 iaitu mengimport produk ternakan atau berasaskan tanpa permit yang sah.
“Diikuti, kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, selain berniaga barang kawalan berjadual termasuk minyak masak dan gula pasir kasar tanpa lesen sah dan
“Seterusnya, kesalahan di bawah perintah 3(3) Perintah-Perintah Perihal Dagangan (Tarikf Halal) 2011 – membekalkan atau menawarkan barang yang diperihalkan sebagai halal,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Bagi kesalahan berikut katanya, semua barang rampasan diserahkan kepada pihak Veterinar, Jabatan Agama Islam Sarawak, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dan KPDN untuk tindakan lanjut.
Sementara, pelbagai barangan sejuk beku turut dirampas semasa serbuan seperti 18,975 kotak mengandungi daging khinzir, 238 kotak kambing Australia, enam kotak daging ayam.
Selain, 880 kotak mengandungi makanan laut, 144 paket 1 kilogram gula pasir kasar jenama CSR dan 880 paket 1kg mintak masak pelbagai jenama.
Dalam pada itu, serbuan telah dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Perisikan Siasatan Khas (Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman) dan agensi serta jabatan berkaitan pada Isnin lalu sekitar jam 11 pagi.

