KUCHING: Program ‘Secangkir Kopi Bersama YB Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Junaidi’ memainkan peranan penting sebagai platform santai untuk merapatkan jurang komunikasi antara kepimpinan tempatan dengan golongan belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.
Program anjuran Pergerakan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai itu menghimpunkan kira-kira 60 belia khususnya yang mewakili Zon Santubong.
Abdul Rahman yang juga ADUN Pantai Damai merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) berkata, beliau bangga melihat usaha golongan belia di kawasan tanggungjawabnya itu.

Menurutnya, beliau juga berharap agar golongan tersebut dapat terus berkembang menjadi modal insan yang berkebolehan tinggi dan berdaya saing.
“Saya mahu melihat anak-anak muda di kawasan Pantai Damai tampil sebagai individu berjaya dan menjadi pakar dalam bidang kepakaran masing-masing bagi memacu pembangunan masa depan Sarawak yang maju serta makmur,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Belia PBB Cawangan N.4 Pantai Damai, Nurashniza Ashwin memberitahu, inisiatif ini dirancang untuk membolehkan golongan belia berinteraksi secara bersemuka dengan Abdul Rahman.
”Sesi interaktif ini juga memberi ruang kepada para belia untuk menyuarakan pandangan, aspirasi serta cadangan konstruktif berhubung pembangunan belia dan kemajuan komuniti setempat,” ujarnya.
Penganjuran program tersebut juga membuktikan komitmen berterusan kepimpinan PBB Cawangan Pantai Damai dalam mendengar suara generasi muda serta memastikan agenda pembangunan belia sentiasa menjadi keutamaan di kawasan berkenaan.



