Sedia tawan lima kerusi

SIBU: Masyarakat Cina di sini diminta membantu menyumbang kemenangan GPS di lima kerusinya di Sibu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12.

Naib Presiden PBB, Dr Annuar Rapa’ee menyuarakan perkara tersebut semasa Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina SUPP Nangka di sini.

Menurutnya, lima kerusi itu ialah Nangka, Pelawan, Bawang Assan, Dudong dan Bukit Assek. “Inilah masanya kita memperkukuhkan GPS di Sibu.

Saya tahu masyarakat Cina sudah muak dengan permainan PH.

Penolakan PH di Semenanjung Malaysia dan Sabah dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah isyarat jelas dan gelombang itu akan melanda Sarawak,” tegasnya.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu yakin, hasrat untuk memperkukuhkan GPS dapat dicapai dengan sokongan warga Sibu.

“Apa yang penting, kita harus bersatu padu dan tidak berpecah belah. Cukuplah apa yang berlaku sebelum ini kerana ia dilihat memberi ruang kepada parti lain mengambil kesempatan.

“Jika kita amalkan politik bekerjasama dan bersatu padu saya yakin, kita boleh mengatasi PH pada PRN akan datang,” ujarnya.

Dr Annuar menambah, politik adalah satu platform untuk berkhidmat kepada rakyat dan dalam politik tiada istilah ‘perang’ bagi menyerang pihak lawan.

“Siapalah saya kalau hendak dibandingkan sangat dengan yang lain dalam politik. Saya masih baharu dan sangat kecil kalau dibandingkan dengan ahli politik lain.

“Malah saya sangat menghormati ahli politik lain apatah lagi mahu berperang tiada berdaya,” katanya ketika membidas kenyataan Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh yang ‘mengisytiharkan perang’ terhadapnya dan Ketua PBB Cawangan Bawang Assan Romeo Christopher Tegong menerusi laporan akhbar baru-baru ini.

Annuar menjelaskan, tujuan sebenar politiknya adalah untuk menguatkan parti yang diwakilinya iaitu PBB amnya dan GPS secara umumnya di Sibu.

“Sebagai pemimpin PBB di Sibu saya mahu melihat ahli-ahli parti mengukuhkan hubungan sesama mereka dengan komponen yang lain supaya tidak berpecah-belah,” ujarnya.

Justeru beliau berkata, usahanya itu tidak sepatutnya memberi masalah kepada Soon Koh dan PSB secara keseluruhan kerana ia sudah lumrah dan rutin ahli politik dalam mana-mana parti.

“Saya akan bekerja keras dan bekerja rapat dengan komponen GPS di Sibu bagi memastikan lima kerusi Dun di sini milik GPS.

“Saya tidak kira siapa, asalkan calon GPS semuanya harus dibantu demi kemenangan besar GPS di Sibu pada PRN akan datang.

Saya mahu semua yang berkepentingan supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh merugikan parti. Bekerjasamalah kita demi GPS,” katanya lagi.

Suara Sarawak