KUCHING: Isu kehilangan atau kerosakan penutup lubang pembentung perlu diberi perhatian segera oleh pihak berkaitan.
Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian awal bagi mengelakkan sebarang isu keselamatan serius berlaku.

Dedahnya, hasil pemeriksaan awal pihaknya mendapati beberapa lurang hilang dan tidak ditutup dengan sempurna.
Situasi itu katanya, berpotensi mengakibatkan kecederaan dan kemalangan serius kepada pengguna jalan raya khususnya para pejalan kaki dan penunggang basikal di sekitar lokasi.
“Perkara ini memerlukan tindakan segera secara kolektif bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini serta memastikan keselamatan awam,”katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pihaknya telah bertindak mengutus surat kepada beberapa jabatan berkaitan bagi mendesak langkah membendung isu tersebut pada kadar segera.
“Keselamatan awam adalah keutamaan kami.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga satu lagi insiden malang berlaku. Saya percaya agensi berkaitan akan bertindak dengan segera dan penuh tanggungjawab,”tambah beliau.


