MIRI: Luluh jiwa seorang anak apabila terpaksa menerima kenyataan bahawa dirinya telah kehilangan orang tersayang sekelip mata sahaja dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, semalam.
Nur Irsalina Syahirah, 17, berkata, kejadian yang menimpa nenek, ibu serta tiga adik-beradiknya yang masing-masing berusia lapan, 11 dan 16 tahun berlaku dalam masa yang singkat.
Menurutnya, sebelum kejadian, dia sedang berada di ruang tamu bersama dengan ibu dan adik-beradiknya.
“Masa kejadian itu berlaku, saya sedang bermain permainan video sambil ditemani ibu dan adik-adik saya, manakala nenek saya sedang tidur di dalam bilik.
“Segalanya bermula apabila ibu mendengar bunyi benda jatuh dan saya juga dengar bunyi yang sama.
“Oleh kerana takut, ibu segera berlari memeluk adik saya yang kecil manakala saya sendiri pun terus bangun dan duduk.
“Bagaimanapun, belum sempat saya bergerak, tanah terus runtuh tetapi saya masih sedar dan tidak pengsan,” katanya ketika ditemubual.
Menurutnya, timbunan tanah runtuh di dalam kawasan rumah telah menyukarkannya untuk keluar menyelamatkan diri.
“Saya cuba alih tanah sedikit supaya dapat bergerak, kemudian datuk saya datang jumpa saya dan tolong alihkan tanah untuk saya.
“Tidak lama kemudian, bomba pun datang untuk tolong keluarkan saya dari tempat kejadian.
“Saya bersyukur masih selamat tetapi bawah lutut saya sakit kerana kena hempap, dan kuku kaki saya juga patah,” ujarnya.

