KUALA LUMPUR: Inisiatif sekolah bertingkat dengan kerjasama sektor korporat akan diperkenal bagi membantu menangani masalah kepadatan sekolah di kawasan bandar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata inisiatif ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dan infrastruktur pendidikan tetapi juga memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk murid serta guru.
“Inisiatif seperti sekolah angkat dengan dukungan rakan strategik korporat akan diperluas bagi membuka lebih banyak peluang pembelajaran kepada murid terutama dalam bidang kemahiran digital dan daya cipta,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam tadi.
Beliau berkata dalam era digital dan kecerdasan buatan, sistem pendidikan negara perlu berkembang seiring perubahan teknologi dengan pendidikan digital akan terus diperkasa agar murid memperoleh kemahiran teknologi yang diperlukan untuk masa depan.
Anwar juga berkata penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu terus disemarak tanpa mengabaikan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa bagi memastikan pelajar memiliki kelebihan di peringkat global.
Beliau berkata peningkatan kemasukan dalam lapangan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut menjadi fokus utama kerana langkah ini penting bagi memastikan tenaga kerja negara sentiasa relevan dengan keperluan industri di samping menjamin kebolehpasaran graduan yang lebih tinggi. – Bernama

