SIBU: Keperluan melahirkan tenaga kerja mahir dalam teknologi kenderaan elektrik (EV) semakin mendesak susulan perkembangan pesat industri mobiliti elektrik yang bakal mengubah landskap pengangkutan dan tenaga, sekali gus mendorong Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menjalin kerjasama strategik dengan SKMG Asia Technology Sdn. Bhd.
Kerjasama itu bukan sekadar membuka ruang perkongsian kepakaran, malah memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran teknikal yang diperlukan industri, khususnya dalam teknologi bateri, sistem pengecasan dan keselamatan elektrik.
Ketua Pegawai Eksekutif SKMG Asia Technology, Rosdin Abdul Kadar berkata, kerjasama yang dimeterai menerusi pemberian Memorandum Perjanjian (MoA) turut membabitkan BYD bagi menggabungkan kekuatan akademik, teknologi EV dan latihan berasaskan industri.
Beliau berkata, perubahan pesat dalam industri kenderaan elektrik memerlukan persediaan awal dari segi pembangunan modal insan dan tidak boleh ditangguhkan sehingga teknologi berkenaan digunakan secara meluas.
“Tenaga hijau bukan lagi sekadar perkara yang akan berlaku pada masa depan. Masa depan itu sebenarnya sudah bermula.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga teknologi ini menjadi arus perdana sebelum mula membangunkan kemahiran berkenaan. Kita perlu bermula sekarang,” katanya pada majlis berkenaan di sini.
Menurutnya, perkembangan industri EV bukan sahaja mengubah sektor pengangkutan, malah mewujudkan permintaan terhadap tenaga kerja dengan kepakaran khusus, termasuk juruteknik yang memahami sistem kenderaan elektrik, jurutera berpengetahuan dalam teknologi bateri dan infrastruktur pengecasan serta pekerja terlatih dalam aspek keselamatan elektrik.
Katanya, UTS dipilih sebagai rakan akademik berdasarkan kepakaran dalam pendidikan teknikal, kemudahan yang tersedia, rekod pencapaian serta komitmen universiti itu dalam membangunkan hubungan kerjasama dengan industri.
Menterusi Pusat Pendidikan Berterusan dan Pembangunan Profesional (CEPED) UTS, kerjasama berkenaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan program latihan EV yang lebih tersusun dan berorientasikan keperluan sebenar industri.
Program itu disasarkan kepada pelajar universiti, juruteknik, jurutera, tenaga profesional industri serta individu yang berminat meneroka peluang kerjaya baharu dalam sektor kenderaan elektrik.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh latihan praktikal, sebuah kenderaan elektrik yang diserahkan pihak majlis itu akan digunakan sebagai platform pembelajaran bagi membolehkan peserta mendapat pendedahan secara langsung terhadap teknologi EV.
Rosdin menegaskan kejayaan kerjasama itu tidak seharusnya diukur berdasarkan pemeteraian perjanjian semata-mata, sebaliknya melalui keupayaannya menghasilkan tenaga kerja kompeten yang benar-benar memenuhi keperluan industri.
Beliau berharap inisiatif itu dapat menyumbang kepada pengukuhan kedudukan Sarawak dalam bidang pendidikan teknologi hijau, selain memperluas pembangunan tenaga kerja mahir bagi menyokong peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
Naib Canselor UTS, Profesor Dr Mohammad Shahril Osman; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Mohd Zainal Munshid Harun; Pengarah CEPED, Safrina Zainal Abidin dan Pengurus BYD Sarawak, Ho Kui Ping antara yang hadir.




