KUCHING: Kawasan Ngemah berpotensi dikembangkan sebagai kawasan pertanian jika kerajaan dapat mewujudkan Pusat Pengumpulan Produk Pertanian, khasnya di tiga kawasan Skim Penempatan Semula (SPS) RASCOM, dan kawasan lain yang bersesuaian.
Tiga kawasan SPS RASCOM tersebut adalah Nanga Jagau, Nanga Ngungun dan Nanga Tada.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, kawasan Ngemah mempunyai tapak dan keluasan tanah yang sesuai untuk membangunkan sektor pertanian.
“Besar harapan rakyat setempat agar Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah dapat memberi perhatian kepada kawasan ini dalam membangunkan ekonomi penduduk setempat melalui pertanian.
“Beberapa produk pertanian, khasnya penanaman ‘Sacha Inci’, kelapa sawit, dabai, kopi, durian dan sayur-sayuran seperti halia, cili dan timun, dilihat sesuai untuk dibangunkan dan dikomersialkan.
“Saya yakin jika penekanan diberi kepada pengeluaran produk pertanian tersebut, kerajaan dapat mempertimbangkan penubuhan Pusat Pengumpulan Produk Pertanian di kawasan ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini, semalam.
Bercakap mengenai perkara lain, Anyi menggesa agar kemudahan sukan dan riadah disediakan bagi kegunaan penduduk kawasan Ngemah.
Ketika ini, hanya tiga gelanggang futsal yang terdapat di SPS Nanga Ngungun, SPS Nanga Tada dan di Sungai Tuah, namun gelanggang futsal ini sudah agak uzur dan terbuka.
“Dicadangkan agar pihak kerajaan dapat menaik taraf gelanggang futsal tersebut daripada terbuka kepada berbumbung dan juga menambah baik kemudahan yang turut disediakan.
“Selain itu, pusat sukan juga diperlukan bagi komuniti setempat melaksanakan aktiviti mereka,” katanya.
Beliau juga menggesa agar usaha membaik pulih Jalan Nibong Tada, yang jaraknya lebih kurang 40 kilometer, diberi perhatian kerana keadaan jalan itu kini berbahaya sebab berlubang dan tidak rata.


