KUCHING: Sektor swasta disarankan agar turut terlibat sama dalam usaha meningkatkan pembangunan sukan di Sarawak.
Saranan tersebut disuarakan oleh Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sambil menambah pembiayaan daripada kerajaan sahaja tidak mencukupi untuk pembangunan sukan tersebut.
“Justeru, inisiatif dilaksanakan oleh Pertama Ferroalloys Sdn Bhd dengan menaja sebanyak RM1.5 juta kepada Persatuan Badminton Sarawak (SBA) iaitu RM300,000 setahun untuk tempoh lima tahun merupakan perkara yang wajar dicontohi.
“Jika tidak silap ini adalah penyumbang kedua terbesar yang datang daripada sektor swasta dan kami berharap pihak swasta lain juga dapat menyokong sama ada dalam badminton atau dalam sukan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Penyerahan Sumbangan RM1.5 juta oleh Pertama Ferroalloys Sdn Bhdn kepada Persatuan Badminton Sarawak di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Sementara itu, Abdul Karim turut memaklumkan bahawa SBA akan menganjurkan pertandingan badminton iaitu Piala Abang Jo dan Piala Juma’ani selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Ogos 2023.
Menurut Setiausaha Kehormat SBA, Ting Ching Zung, Piala Abang Jo julung kali diadakan pada tahun lepas manakala Piala Juma’ani julung kali diadakan tahun ini.
“Piala Juma’ani diperkenalkan buat kali pertama untuk acara wanita dalam kejohanan tahun ini atas saranan Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg agar atlet wanita turut terlibat sama dalam kejohanan berkenaan,” ujarnya.
Ting menambah, juara bagi Piala Abang Jo akan memenangi RM10,000 dan Piala Juma’ani pula akan membawa pulang hadiah sebanyak RM5,000, dengan acara penyampaian hadiah bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak pada 6 Ogos depan di Dewan SBA.



