KUCHING: Sarawak komited untuk menubuhkan empat tapak penyimpanan karbon menjelang 2030 melalui pelantikan PETROS sebagai Pengurus Sumber dalam penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, langkah ini akan memacu inovasi CCUS untuk mendekarbonisasi industri utama dan menyumbang kepada matlamat sifar bersih, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai pusat bagi CCUS di rantau Asia Pasifik.
“Pada Februari tahun ini, PETROS telah menandatangani perjanjian tapak penyimpanan dengan PETRONAS melalui anak syarikatnya CCS Ventures, dan pihak Konsortium Jepun untuk kawasan lapangan M3 di luar pesisir Sarawak.
“Kerjasama ini merupakan satu lonjakan ke hadapan dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di seluruh rantau Asia Pasifik, termasuk Malaysia dan Jepun.
“Sementara, pada Julai 2024, kami telah melancarkan Sarawak Bid Round, menawarkan tiga tapak penyimpanan karbon dengan kapasiti penyimpanan anggaran sekitar 1,000 juta tan (MT) CO2.
“Inisiatif ini mengukuhkan kepimpinan Sarawak dalam inisiatif CCUS, membuka peluang baharu untuk perkongsian antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Persidangan Hala Tuju Gas Sarawak di sini, semalam.
Abang Johari menambah, usaha ini selaras dengan Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan tahun lepas, mengenal pasti CCUS sebagai salah satu daripada enam pemacu kritikal peralihan tenaga yang dijangka mencipta lebih daripada 200,000 pekerjaan dan sekitar RM250 bilion dalam nilai kasar untuk 30 tahun akan datang.
“Sebagai pelengkap kepada hasrat ini, Sarawak juga memberi perhatian terhadap tenaga boleh diperbaharui.
“Dengan kapasiti hidroelektrik yang besar, Sarawak memimpin rantau ini dalam pengeluaran tenaga bersih dan menyasarkan untuk mencapai kapasiti 15 gigawatt (GW) menjelang 2035.
“Perkembangan ini meletakkan Sarawak sebagai kuasa besar tenaga hijau di rantau ini, membolehkan eksport elektrik mampan ke negara jiran termasuk Singapura, Indonesia dan lainlain,” katanya.






