KUCHING: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh mendedahkan hasratnya untuk memperluaskan projek tanaman sayur menggunakan teknologi hidroponik di kawasan DUN Batang Ai.
Malcolm yang juga ADUN Batang Ai itu berkata, hasrat ini disuarakan ekoran potensi Sri Aman yang berkembang pada masa ini sebagai kawasan pertanian.
Justeru katanya, dengan memperluaskan tanaman ini, ia membolehkan pengusaha pertanian menjana pendapatan selain menternak ikan tilapia merah Batang Ai.
“Bagi lawatan hari ini, ia adalah mempelajari, memperluaskan, dan menggandakan sistem hidroponik di kawasan saya (Batang Ai) sebagai alternatif kepada pertanian.
“Dengan menggunakan tanaman hidroponik, petani boleh menghasilkan sayur-sayuran dalam tempoh kurang dari dua bulan, sambil menunggu ikan mereka mencapai saiz yang sesuai untuk dijual.
“Ini memberi mereka peluang untuk menjana pendapatan tambahan sementara menunggu hasil penternakan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke atas Emma Hidrophonics Farm Weare di Jalan Batu Kawa, di sini, hari ini.



