ARTIKEL

Selamat datang Encik Ramadan!

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

FARIDAH MOHAMAD SAAD

NAFAS panjang dihela beberapa detik.

Keringat yang semakin banyak merenik di wajah dibiarkan.

Angin petang yang berpuput lembut saling bergilir memukul muka.

Beberapa helai rambut putihnya yang berjuntaian dan menyentuh dahi segera ditolak ke atas.

Dia menyandarkan tubuhnya yang semakin lesu.

Beberapa penghuni di rumah orang-orang tua itu berbual-bual sesama sendiri.

“Syaaban, kenapa duduk termenung?” soal Syawal yang berjalan menuju ke arahnya.

Syaaban tersentak.

Segera dia tersenyum melihat Syawal yang berjalan dengan bantuan tongkat.

Rakan baiknya sama-sama menghuni rumah orang-orang tua itu.

Malah sudah hampir sepuluh tahun dia tidur bersebelahan katil Syawal.

Justeru dia lebih arif dan tahu tentang perangai Syawal berbanding penghuni yang lainnya.

“Kau dari mana?” tanya Syaaban tanpa menjawab soalan Syawal.

Syawal menghampiri Syaaban lantas melabuhkan punggungnya sambil menyandarkan tongkat di bucu meja.

Wajah rakannya diamati sepenuhnya.

Ternyata kedua-duanya sudah semakin tua namun masih mampu menguruskan diri sendiri.

Pada wajah rakannya Syaaban dia melihat garisan kehidupan pada masa lampau yang sukar untuk diterjemahkan.

Dia dan Syaaban juga rindukan anak-anak.

“Aku dari pejabat.” Balas Syawal antara acuh tak acuh sahaja.

“Sudahlah Syawal.

Tak guna kau tunggu anak-anak kau datang.

Mereka hanya datang bila menjelangnya hari raya sahaja.

Itu pun mereka hanya datang melawat bukannya datang untuk ambil kau pulang ke rumah mereka.”

Ujar Syaaban sambil memuncungkan mulut tuanya.

Syawal terkebil-kebil tatkala mendengar kata-kata rakannya itu.

Barangkali ada kebenaran daripada kata-kata itu.

“Aku ke pejabat bukan sebab anak-anak aku.

Sejak dari semalam kau tidak dengar apa-apa berita ke?”

Syaaban tergamam.

Berita apa pula kali ini?

“Bulan depan kita akan mula berpuasa.

Bulan Ramadan yang bakal menjelma.

Justeru kita akan menyambut orang baharu di rumah orang-orang tua ini.”

Syaaban tidak menjawab.

Tatkala mendengar tentang bulan Ramadan, hatinya sedikit gundah.

Lantas terlintas di fikirannya sewaktu dia masih muda.

Ketika dia masih muda dia langsung tidak mengecapi nikmat berpuasa.

Waktu itu dia banyak berbuat dosa.

Mendengarkan kedatangan bulan Ramadan menyebabkan hatinya gementar.

Malah dia juga tidak tahan lapar dan dahaga.

Jika bulan Ramadan tiba sudah pastilah rutin hariannya akan terbantut.

Sebulan berikutnya riuh rumah orang tua dengan kehadiran ahli baharu.

Syawal mengajak Syaaban ke pejabat rumah orang-orang tua untuk meraikan kehadiran ahli baharu di situ.

“Syaaban, marilah ke pejabat.

Ramadan sudah tiba!”

Syaaban tergamam.

Serta-merta wajahnya pucat.

“Bukan lambat lagi ke?

Kenapa pula Ramadan datang secara tiba-tiba.

Kau sajalah yang pergi aku tak mahu.”

“Kau ni, marilah nanti dikatakan kau sombong pula,” balas Syawal kembali.

“Aku takut dengan Ramadan!” jerit Syaaban secara tiba-tiba.

Bulat mata Syawal tatkala mendengar jeritan rakannya itu.

“Apalah kau ni, sepatutnya bulan Ramadan kita kejar pahala.

Kita perbanyakkan amal.

Kita ini sudah semakin tua. Bertaubatlah.” Nasihat Syawal.

“Sudah, sudah.

Mari ikut aku ke pejabat.” Syawal terus menarik tangan Syaaban.

Seorang lelaki sebaya Syaafan dan Syawal berjalan segak sambil menghulurkan tangan kepada semua penghuni di rumah orang-orang tua itu.

Syawal juga turut berjabat tangan sambil berkata:

“Selamat datang Encik Ramadan!”

Untuk kali ini Syaaban akan menyambut dua Ramadan iaitu satu bulan Ramadan dan keduanya Encik Ramadan, pegawai baharu di situ.

BERITA LAIN

PEJUANG NAFKAH

Dia tidak pernah ambil tahu jika wang di saku sering berbaki cukup-cukup nyawa. Dia tidak pernah peduli kalau ringgit makin mengukuh merujuk ungkapan orang ekonomi.

GELANDANGAN

Melintasi kedai serba ada kulihаt dia berbaring santai menyesak ruang masуk ke pintu kedai pelanggan lalu-lalang memandang sinis menutup hidung. Kita ini miskin atau kaya

BERITA TERBARU