ARTIKEL

Penyokong Selangor FC direman bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang dicetuskan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu.Foto Bernama.

Selangor FC kesal insiden libatkan segelintir penyokong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Selangor FC melahirkan rasa kesal susulan insiden melibatkan sebilangan kecil penyokong pasukan itu di kawasan Jambatan Angkat di Kuala Terengganu, sebelum perlawanan Liga Super 2025/26 menentang Terengganu FC, pada Ahad.

Selangor FC menerusi kenyataan hari ini merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu atas tindakan tegas yang diambil bagi memastikan ketenteraman awam serta keselamatan orang ramai.

“Pihak pengurusan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan, selain menegaskan bahawa perbuatan sedemikian bercanggah dengan nilai serta budaya sokongan yang diperjuangkan oleh Selangor FC,” menurut kenyataan itu.

Selangor FC turut berharap insiden itu dijadikan pengajaran kepada semua pihak agar penyokong sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab, saling menghormati serta bersama-sama memupuk suasana sokongan bola sepak yang lebih positif dan sihat.

“Selangor FC sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana kumpulan penyokong dan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam usaha menjamin keselamatan serta memperkasakan kemeriahan sukan bola sepak tempatan,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan seramai 21 daripada 33 penyokong bola sepak Selangor FC yang ditahan disahkan positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kesemua mereka yang ditahan pada pukul 8.30 malam itu termasuk seorang pelajar serta penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman kumpulan penyokong Selangor FC yang dilihat membakar suar di Jambatan Ikonik Terengganu hingga mengganggu ketenteraman dan menimbulkan kegusaran awam. – TVS

BERITA LAIN

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha