KUALA LUMPUR: Selangor Red Giants (SRG.OG) hanya selangkah untuk mempertahankan kejuaraan Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) Piala Pertengahan Musim (MSC) apabila berjaya menyingkirkan cabaran sengit wakil Filipina, Onic PH menerusi kemenangan 3-2 pada aksi separuh akhir hari ini.
Perlawanan yang berlangsung dalam format lima terbaik itu menyaksikan pasukan SRG.OG dibarisi Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekyss), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie) serta dua pemain import, Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm) dan John Vincent Banal (Innocent) membuka gelanggang dengan langkah kanan apabila memenangi aksi pertama.
Anak buah Michael Bocado (Arcadia) memulakan saingan dengan penuh bertenaga dan keunggulan mereka dimuktamadkan apabila Innocent yang menggunakan hero Granger meraih ‘maniac’ pada penghujung aksi pertama yang berlangsung hampir 18 minit, sekali gus memberikan kelebihan awal 1-0 kepada SRG.OG.
Pada perlawanan kedua, SRG.OG seolah-olah kehilangan arah dan Onic PH mendominasi untuk memenangi perlawanan dalam tempoh 12 minit bagi mengikat kedudukan seri 1-1.
Bagaimanapun, SRG.OG kembali bangkit pada perlawanan ketiga berbekalkan strategi lebih baik iaitu kali ini, Kramm dengan hero Cici tampil dengan aksi cukup bertenaga untuk meletakkan wakil Malaysia itu kembali di hadapan selepas 12 minit.
Onic PH enggan menyerah kalah pada perlawanan seterusnya dan berjaya meraih kemenangan dalam tempoh 11 minit, justeru permainan diheret ke aksi penentuan yang menyaksikan penguasaan SRG.OG menerusi persembahan hebat Sekyss yang menggunakan hero Akai.
Memasuki minit ke-17, SRG.OG melakukan serangan yang menyaksikan semua pemain Onic PH ditumpaskan dan kelebihan itu digunakan wakil Malaysia untuk memusnahkan kristal lawan mereka sekali gus melangkah ke final utama (grand final) dengan kemenangan 3-2.
“Saya sangat gembira dan kagum dengan persembahan kami hari ini. Saya rasa kami bersemangat untuk membalas dendam terhadap Onic PH.
“Sebelum ini kami tewas kepada mereka dua kali dalam kejohanan antarabangsa dan hari ini kami berjaya,” kata Sekyss selepas perlawanan hari ini.
Menanti SRG.OG di pusingan final utama esok pemenang satu lagi aksi separuh akhir hari ini melibatkan wakil Indonesia, Onic bertemu pasukan Filipina Team Liquid PH. — BERNAMA

