ARTIKEL

Selat Melaka

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

WALAUPUN Asia Tenggara secara relatif stabil, namun, kestabilan ini tidak statik. Ia bergantung kepada keseimbangan kuasa yang sentiasa berubah antara pemain besar seperti AS dan China. Dan dua kuasa besar ini sekian waktu, “bermain kuasa” di Laut China Selatan.

AS melalui konsep kebebasan pelayaran, manakala China melalui keperluan keselamatan rantaian bekalan tenaga dan perdagangan.

Namun, konflik masa ini tidak semestinya berbentuk konvensional.

Risiko Selat Melaka lebih cenderung muncul dalam bentuk perang hibrid seperti gangguan siber ke atas sistem pelabuhan, sabotaj logistik atau operasi “kelabu” yang sukar dikesan.

Adakah Selat Melaka berpotensi menjadi medan konflik seperti Hormuz? ChatGPT menjawab soalan ini dengan berkata “ya” atas alasan “kerana nilai kepentingannya yang tinggi”. Namun secara praktikal, kebarangkalian itu masih rendah, selagi Asia Tenggara kekal stabil dan kerjasama serantau terus diperkukuh.

Berkaitan isu di media sosial yang menggosipkan Indonesia berkepentingan dengan Selat Melaka, seperti dilaporkan CNN Indonesia, Kementerian Luar Indonesia menegaskan peningkatan kerjasama pertahanan Indonesia-AS tidak melibatkan pemberian akses bebas kepada pesawat tentera asing menggunakan ruang udara Indonesia termasuk berkaitan Selat Melaka.

Jurucakap, Yvonne Mewengkang, menyatakan Indonesia tidak mempunyai dasar membenarkan mana-mana pihak menggunakan ruang udara tanpa kebenaran. Semua bentuk kerjasama tetap tertakluk kepada kedaulatan negara serta prosedur nasional. Walaupun terdapat laporan AS mencadangkan akses lintas udara bebas, perkara itu masih dalam penelitian dan belum diputuskan. Yvonne menegaskan setiap cadangan dinilai secara teliti dengan mengambil kira kepentingan nasional, kedaulatan ruang udara, serta prinsip dasar politik luar negeri bebas aktif.

Selat Melaka mungkin tidak menjadi medan perang secara langsung, tetapi boleh menjadi tekanan strategik dalam konflik yang lebih luas. Sebagai contoh, sekatan tidak rasmi atau gangguan teknikal ke atas laluan ini sudah cukup untuk memberi kesan besar kepada ekonomi global.

Selat Hormuz terletak di kawasan yang sering bergolak, khususnya melibatkan ketegangan Iran, AS dan sekutu Barat.

RISIKO Selat Melaka membawa hampir satu pertiga perdagangan dunia, termasuk sebahagian besar eksport tenaga dari Timur Tengah ke Asia Timur. Ini menjadikannya bukan sekadar laluan perdagangan, tetapi tulang belakang globalisasi moden.

Berbeza dengan Selat Hormuz yang sangat bergantung dengan eksport minyak, Selat Melaka mengendalikan pelbagai jenis kargo – daripada elektronik hingga makanan. Ini bermakna sebarang gangguan mampu mencetuskan kesan rantaian yang lebih luas.

Di sinilah paradoksnya; semakin penting sesuatu laluan, semakin tinggi insentif untuk melindunginya. Negara pengguna utama seperti Jepun, Korea Selatan dan China sendiri mempunyai kepentingan besar memastikan Selat Melaka kekal terbuka. Justeru, berbanding Hormuz yang sarat konflik geopolitik, Selat Melaka dilindungi oleh kepentingan bersama pelbagai pihak.

PERANAN ASEAN

Kerjasama serantau melalui ASEAN sering dilihat sebagai faktor kestabilan utama. Mekanisme seperti rondaan bersama dan perkongsian maklumat berjaya mengurangkan ancaman lanun dan jenayah maritim.

Namun, pendekatan ASEAN secara konsensus juga mempunyai kelemahan kerana cenderung lambat bertindak dalam situasi krisis dan mengelak konfrontasi terbuka. Dalam senario tekanan kuasa besar, pendekatan ini mungkin tidak cukup tegas untuk mempertahankan kepentingan serantau.

Tambahan pula, negara pesisir Selat Melaka yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia dan Singapura – mempunyai keutamaan strategik yang berbeza. Hal ini juga kembali kepada dasar ASEAN yang kekal menjadi negara berkecuali dan tidak memihak kepada sesiapa.

LALUAN ALTERNATIF

Sering disebut bahawa laluan alternatif seperti Selat Lombok dan Sunda boleh menggantikan Selat Melaka. Secara teori, ini benar, namun dari segi praktikal, laluan ini lebih jauh, lebih mahal dan kurang efisien.

Dalam dunia yang bergantung dengan rantaian bekalan segera, kelewatan mampu memberi impak kepada industri global. Oleh itu, kebergantungan kepada Selat Melaka tetap tinggi, menjadikannya satu bentuk laluan sempit moden, walaupun kurang berisiko konflik ketenteraan berbanding Hormuz.

KONFLIK

Secara kritikal, kemungkinan Selat Melaka menjadi medan konflik seperti Hormuz adalah rendah, tetapi tidak mustahil. Terdapat beberapa sebab utama, misalnya tiada konflik ideologi tajam di situ sebagaimana di Timur Tengah. Negara terlibat persekitaran Selat Melaka juga mempunyai kepentingan ekonomi bersama yang tinggi, selain wujudnya pelbagai aktor berkepentingan yang berfungsi sebagai penstabil.

Namun, risiko dapat meningkat jika berlaku konflik besar antara kuasa besar, khususnya di Indo-Pasifik. Dalam keadaan ini, Selat Melaka berpotensi menjadi sasaran bukan kerana konflik tempatan, tetapi kerana nilainya dalam strategi global.

Perbandingan antara Selat Melaka dengan Selat Hormuz memperlihatkan dua wajah keselamatan maritim global; satu didominasi konflik geopolitik, satu lagi dipacu oleh kerjasama ekonomi.

Bagi dunia, pengajarannya jelas, keselamatan laluan strategik tidak boleh bergantung kepada satu negara atau satu rantau sahaja. Ia memerlukan tadbir urus global yang inklusif, pelaburan dalam keselamatan maritim, dan komitmen berterusan terhadap diplomasi.

Dalam era persaingan kuasa besar yang semakin sengit, persoalan bukan lagi sama ada Selat Melaka akan menjadi medan konflik, tetapi bagaimana dunia mengelak ia daripada menjadi mangsa kepada konflik yang lebih besar.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU