KUCHING: Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin isu melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dengan Jabatan Imigresen Malaysia dapat ditangani dengan baik.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu, ia perlu diselesaikan supaya sektor pelancongan Sarawak mendapat impak yang positif sekali gus menjaga imej negara.
Beliau berkata, insiden tersebut sememangnya akan memberi kesan terhadap sektor pelancongan terutama melibatkan pelancong dari China susulan berita tersebut sudah pasti telah tersebar luas di media sosial ketika ini.
‘’Saya percaya sekarang menerusi media sosial, penduduk di China juga melihat isu tersebut malah bukan hanya dari China tetapi juga negara-negara lain. Jika kita bertindak dengan positif, saya percaya pelancong yang bercadang untuk datang ke Malaysia akan menghargai dan tidak akan menimbulkan masalah.
‘Bagaimanapun secara peribadi saya merasakan bahawa jika tidak ada tindakan diambil dan terdapat kebenaran bahawa pelancong yang datang dianiaya, maka ia mungkin akan memberi kesan kepada pelancongan,’’ tegasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Penyerahan Sumbangan RM1.5 juta oleh Pertama Ferroalloys Sdn Bhdn kepada Persatuan Badminton Sarawak di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Abdul Karim berkata beliau menyerahkan kepada agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain untuk menjalankan siasatan berhubung isu tersebut.

