KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Ir Lo Khere Chiang, menyatakan sokongan terhadap cadangan peruntukan 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata ketika ini, Sabah dan Sarawak hanya memegang 56 kerusi, atau kurang daripada sepertiga daripada jumlah 222 kerusi Parlimen.
Justeru katanya, kedua-dua negeri itu memerlukan sekurang-kurangnya 74 kerusi atau lebih untuk memiliki kuasa veto ke atas sebarang pindaan yang boleh menghakis hak di bawah Perlembagaan.
“Kerajaan Persekutuan mesti menghormati kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu yang setara dalam pembentukan Malaysia, dan bukannya sebagai negeri-negeri dalam persekutuan Semenanjung.
“Oleh itu, kerusi yang sepatutnya diperuntukkan kepada Singapura perlu diagihkan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menurut Khere Chiang, perbincangan terkini dalam DUN menunjukkan bahawa tiada keputusan konkrit dibuat tentang penambahan perwakilan, walaupun telah dibincangkan pada 2022 dan 2023.
Ujarnya, ia mungkin mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk diselesaikan, tetapi kemajuan masih terlalu perlahan.
“Tindakan perlu diambil, bukan hanya janji, ini adalah isu yang mendesak.
“Satu cadangan yang membimbangkan daripada beberapa NGO dari Semenanjung mahu meningkatkan kerusi Dewan Negara bagi Sabah dan Sarawak, bukannya kerusi Parlimen.
“Bagi saya, ini tidak boleh diterima, kerana ia tidak memberikan kuasa veto yang diperlukan untuk melindungi kepentingan kita.
“Kita semua tahu bahawa keputusan utama dibuat di Dewan Rakyat, bukan di Dewan Negara.
“Kita mesti menolak cadangan ini dengan tegas,” katanya.


