BINTULU: Sempena sambutan Paskah, Persatuan Misi Dunia Gereja Tuhan Bintulu bakal menganjurkan Kempen Derma Darah Sedunia Ke-1619 yang bertemakan “Memberikan Kehidupan Melalui Kasih Paskah”.
Program amal ini dijadual berlangsung pada Ahad, 27 April ini, dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari bertempat di The Spring Mall Bintulu dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
Kempen tersebut menyasarkan penyertaan seramai 70 hingga 100 orang penderma darah, merangkumi ahli Parti Demokratik Progresif (PDP) serta orang awam sekitar Bintulu.
Menurut jurucakap jawatankuasa penganjur, Hellen Anbi, objektif utama kempen ini adalah untuk menyemai semangat memberi serta membantu sesama manusia, selain memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi di hospital tempatan, khususnya Hospital Bintulu.
Dengan slogan “Menyampaikan Kasih Melalui Paskah Perjanjian Baru”, kempen ini menekankan kepentingan kasih sayang dan pengorbanan dalam kehidupan seharian, sejajar dengan semangat Paskah.
Inisiatif ini turut mendapat sokongan padu daripada beberapa pihak termasuk Hospital Bintulu, Liansin, PDP Samalaju N70, dan pihak pengurusan The Spring Bintulu yang menyediakan ruang bagi menjayakan kempen tersebut.
Orang ramai yang berminat untuk menderma darah digalakkan hadir bagi menyumbang kepada usaha menyelamatkan nyawa melalui satu tindakan mudah namun sangat bermakna.
Penganjur berharap program ini bukan sahaja dapat membantu dari segi keperluan perubatan, tetapi juga memupuk nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat tempatan.



