KUALA TERENGGANU: Waris kini boleh menyemak sama ada ahli keluarga yang telah meninggal dunia mempunyai perlindungan takaful keluarga atau insurans hayat menerusi portal Semak Kasih.
Portal sehenti itu dibangunkan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM). Ia membantu waris mengenal pasti manfaat perlindungan yang masih belum dituntut daripada 25 syarikat takaful dan insurans yang mengambil bahagian.
Pengguna hanya perlu mendaftar akaun, memasukkan nama serta nombor kad pengenalan si mati dan memuat naik salinan sijil kematian. Sistem kemudian membuat semakan terhadap kira-kira 37 juta rekod polisi sebelum memaparkan syarikat berkaitan untuk urusan lanjut.
Semak Kasih bukan platform tuntutan, sebaliknya membantu menghubungkan waris dengan pengendali takaful atau syarikat insurans tanpa memaparkan butiran polisi, nilai perlindungan atau status tuntutan. Perkhidmatan itu disediakan secara percuma.
Inisiatif itu bertujuan memastikan manfaat perlindungan dapat disalurkan kepada waris yang berhak, sekali gus memperkukuh perlindungan kewangan keluarga serta mengurangkan kesukaran selepas kehilangan insan tersayang seperti dilapor Bernama.

