Trending

Semak semula skim bantuan tanaman lada

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Kementerian Perladangan dan Komoditi menyemak semula skim bantuan untuk pekebun kecil lada dalam memastikan golongan tersebut berupaya mengusahakan ladang lada serta menambah pendapatan mereka. 

Menterinya, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihaknya memahami bahawa berlaku kenaikan pada harga input pertanian ketika ini ekoran tercetusnya konflik Rusia-Ukraine awal tahun lalu.

Sehubungan itu katanya, kementerian itu menyemak semula skim tanaman lada bagi membantu pekebun kecil tersebut.

 “Jika dahulu kita ada Skim Tanaman Lada Baharu, iaitu hanya RM26,000 sehektar, sekarang ini dinaikkan kepada RM46,000 sehektar.

“Begitu juga dengan Skim Tanaman Lada Matang (dinaikkan) kepada RM25,000 sehektar daripada RM13,000 sehektar,” katanya pada majlis perasmian Stesen Penyelidikan Lapangan Lembaga Lada Malaysia, Jalan Penrissen, di sini semalam. 

Fadillah berkata, menerusi inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM50 juta, ia dapat membantu pekebun kecil lada untuk terus mengusahakan ladang dan kekal dalam industri lada negara.

Beliau berkata kementerian menerusi Lembaga Lada Malaysia turut melaksanakan dasar yang digariskan dalam Dasar Agrikomoditi 2030. 

Katanya, Lembaga Lada Malaysia perlu meneruskan pengeluaran lada yang berkualiti seiring dengan kehendak pasaran semasa selain menghasilkan benih lada bermutu tinggi dan tahan penyakit.

Malah tambahnya, Lembaga Lada Malaysia juga sedang berusaha mencari mekanisme penanaman lada menggunakan teknologi untuk penanaman dan penuaian.

“Di samping melihat input pertanian, penggunaan baja yang mesra alam dan mesra manusia, sama ada organik dan sebagainya perlu dilihat. 

“Hal ini supaya kita dapat memenuhi kehendak pasaran pada masa ini khususnya kesedaran dari sudut kesihatan makanan, kesedaran alam sekitar agar dapat dipenuhi keseluruhannya,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli dan Pengerusi Lembaga Lada Malaysia, Datuk Anyi Ngau.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru