ARTIKEL

Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak Zaidi Nasar

Semakan gaji minimum perlu ikut realiti kos hidup negeri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Langkah Kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula kadar gaji minimum negara tidak seharusnya hanya bergantung kepada angka inflasi nasional semata-mata, malah perlu melihat faktor yang lebih luas.

Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak Zaidi Nasar berkata, kerajaan perlu mengambil kira kuasa beli sebenar pekerja, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), gaji penengah, produktiviti buruh serta perbelanjaan asas kehidupan wajar mengikut negeri dan daerah.

“Realiti kehidupan pekerja di Sarawak mempunyai cabaran tersendiri, termasuk faktor geografi yang luas, jarak perjalanan yang jauh, kemudahan pengangkutan awam yang masih terhad serta kos penghantaran barangan yang tinggi.

“Suara pekerja dari kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman perlu diberikan perhatian dalam proses semakan ini kerana penilaian berdasarkan satu kadar purata nasional tidak mencerminkan keadaan sebenar yang dihadapi oleh pekerja di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu katanya, sebarang kenaikan gaji minimum tidak boleh menyebabkan pekerja lama kehilangan nilai pengalaman, kemahiran dan tempoh perkhidmatan mereka.

“Majikan hendaklah menyemak keseluruhan struktur dan tangga gaji supaya terdapat perbezaan yang adil antara pekerja baharu, pekerja berpengalaman, pekerja mahir dan mereka yang memikul tanggungjawab lebih besar,” katanya.

Di samping itu, penetapan gaji minimum hendaklah merujuk kepada gaji pokok dan tidak seharusnya digantikan dengan elaun, insentif, bonus atau bayaran kerja lebih masa.

“Kenaikan gaji minimum juga tidak boleh dijadikan alasan untuk mengurangkan faedah sedia ada atau menangguhkan kenaikan gaji tahunan pekerja,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memahami cabaran yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana dalam menyesuaikan diri dengan perubahan dasar gaji minimum.

Justeru, usaha penyesuaian perlu dilaksanakan secara bersama dan seimbang, agar pekerja tetap menerima gaji yang adil dan bermaruah tanpa menjejaskan kelangsungan operasi majikan.

“Sebaliknya, kerajaan boleh menyediakan bantuan peralihan yang bersifat konstruktif seperti insentif bersasar, latihan peningkatan kemahiran, automasi serta sokongan produktiviti.

“Dengan cara ini, semakan gaji minimum akan menjadi satu langkah positif yang mengukuhkan hubungan majikan, pekerja, menyokong kelestarian perniagaan dan menjamin kesejahteraan ekonomi negara,” katanya.

Mengulas lanjut, kenaikan gaji minimum bakal membawa kesan positif bukan sahaja kepada pekerja, tetapi juga ekonomi dan hubungan industri serta memperkukuh hubungan majikan, kerajaan serta pekerja dalam semangat keadilan sosial.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU