SEGAMAT: Semangat cintakan negara, selain keinginan melihat Jalur Gemilang terus berkibar di pentas antarabangsa, menjadi antara dorongan Datuk Ayub Rahmat untuk terus mengubah landskap sukan angkat berat negara.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) itu berkata kejayaan seseorang atlet bukan hanya diukur menerusi kilauan pingat, sebaliknya turut membawa maruah dan imej negara yang perlu dipertahankan setiap kali mereka beraksi.
“Apabila atlet kita bertanding, mereka bukan membawa nama sendiri atau persatuan sahaja, tetapi membawa nama Malaysia.
Sebab itu kita mahu mereka bertanding secara bersih dan apabila menang, kemenangan itu benar-benar menjadi kebanggaan negara,” katanya kepada Bernama sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM), baru-baru ini.
Ayub, 57, berkata atas prinsip itu, PABM memberi perhatian menyeluruh terhadap pembangunan atlet, termasuk aspek kebajikan, bimbingan, pemakanan dan pengambilan ubat-ubatan bagi memastikan mereka bebas daripada isu doping.
Beliau berkata isu pengambilan bahan terlarang pernah membelenggu sukan berkenaan sehingga menjejaskan penyertaan atlet negara, antaranya disebabkan kurangnya pendedahan mengenai pemakanan dan penggunaan ubat-ubatan.
Ayub yang menyertai jawatankuasa PABM sebagai Timbalan Presiden pada 2013 berkata usaha menangani doping menjadi antara agenda utamanya sebelum diperkasakan selepas dilantik sebagai Presiden pada 2018.
Daripada dibelenggu isu doping kepada kejayaan meraih tujuh pingat di Sukan Komanwel 2026, perjalanan sukan angkat berat negara mencerminkan tekad Ayub untuk mengembalikan kegemilangan sukan itu, di samping memastikan Jalur Gemilang terus berkibar di pentas antarabangsa.
“Sebaik dilantik menerajui PABM, antara perkara utama yang saya lakukan ialah meminda perlembagaan persatuan dengan memberi penekanan kepada usaha melahirkan atlet yang sihat dan bebas daripada pengambilan bahan terlarang,” katanya.
Beliau berkata PABM turut memperkasakan usaha itu hingga ke peringkat akar umbi apabila atlet dan jurulatih perlu melalui ujian saringan, termasuk atlet remaja yang menyertai Sukan Malaysia (SUKMA), selain bekerjasama rapat dengan Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
Ayub berkata usaha berterusan itu membuahkan hasil apabila atlet angkat berat mencatat rekod bersih daripada doping pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, sebelum skuad negara meraih tiga pingat perak dan dua gangsa pada Sukan SEA 2025 di Thailand.
Kecemerlangan itu diteruskan pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland, apabila skuad angkat berat negara meraih tujuh pingat, iaitu lima emas, satu perak dan satu gangsa, selain menerima Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik menerusi Trofi Trafalgar 2026 daripada Persekutuan Angkat Berat Negara-Negara Komanwel.
Ayub berkata setiap kejayaan itu memberikan kepuasan tersendiri kerana matlamat PABM bukan sekadar melahirkan juara, tetapi membentuk atlet yang memahami tanggungjawab membawa nama Malaysia.
“Apabila Jalur Gemilang dinaikkan dan Negaraku dimainkan kerana kemenangan atlet kita, itu merupakan satu kebanggaan. Perasaan cintakan negara itulah yang membuatkan kita mahu terus bekerja dan melihat Malaysia berjaya,” katanya.
Menurut bekas Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor itu, PABM kini mahu memperluas pembangunan bakat angkat berat ke peringkat sekolah menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM), selain mengalu-alukan sokongan pihak swasta dan korporat dalam usaha melahirkan lebih ramai pelapis.
Beliau berkata pencarian bakat perlu diperluas ke seluruh negara kerana ramai anak Malaysia berpotensi diketengahkan dengan PABM kini menyasarkan untuk terus mengukuhkan kedudukan negara di peringkat Asia, termasuk merealisasikan impian meraih pingat pada Sukan Asia.
Mengimbas pembabitannya dalam sukan itu, Ayub berkata perjalanan berkenaan bermula pada 2006 apabila Menteri Besar Johor ketika itu, Tan Sri Abdul Ghani Othman, memberikan amanah kepadanya untuk menaungi Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Johor.
Beliau berkata tugas yang pada mulanya dipikul sebagai satu amanah itu akhirnya berkembang menjadi satu perjuangan untuk melihat atlet negara berjaya dan Jalur Gemilang terus berkibar di pentas dunia. — Bernama

