MUKAH: Tiada penjawat awam yang mampu bergerak sendirian dalam melaksanakan tanggungjawab, sebaliknya kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada kerjasama dan kekuatan seluruh pasukan.
Mesej itu ditekankan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki yang menyifatkan semangat kebersamaan sebagai asas penting dalam memastikan perkhidmatan awam terus maju dan berupaya menghadapi pelbagai cabaran.

Mengambil ungkapan ikonik penyokong kelab bola sepak Liverpool, ‘You’ll Never Walk Alone’, beliau berkata prinsip sama perlu diterapkan dalam kalangan penjawat awam dengan setiap individu saling menyokong tanpa mengira pangkat, jawatan dan latar belakang.
Menurutnya, setiap anggota perkhidmatan awam mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri yang boleh saling melengkapi dalam menjayakan tanggungjawab organisasi.

“Jangan kira kita pegawai daerah, pegawai kanan, kakitangan pejabat atau petugas sokongan kerana setiap daripada kita menyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi.
“Apabila kita bekerja sebagai satu pasukan dan satu keluarga, saya percaya apa juga cabaran yang dihadapi dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Jalinan Perkhidmatan Awam sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah, di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, Abu Bakar memberitahu, penjawat awam juga perlu sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan dunia, perkembangan teknologi serta peningkatan ekspektasi masyarakat terhadap mutu penyampaian perkhidmatan.
Ujarnya, kaedah kerja sedia ada perlu sentiasa ditambah baik dan tidak boleh terus diamalkan tanpa mengambil kira perubahan persekitaran serta keperluan semasa.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan terus memberi perhatian kepada kebajikan penjawat awam menerusi pelbagai inisiatif, termasuk penyediaan kemudahan pejabat dan kuarters yang lebih baik.
Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM4 bilion bagi pembinaan kuarters baharu selepas mengambil kira keadaan kemudahan kediaman sedia ada di beberapa daerah yang daif dan memerlukan penggantian.
“Beberapa projek berkenaan kini berada pada peringkat awal pelaksanaan, termasuk kerja-kerja tanah, dan dijangka menunjukkan hasil dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
“Selain itu, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembinaan pejabat kerajaan baharu bagi menggantikan bangunan lama yang mengalami kerosakan, termasuk pejabat daerah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan penjawat awam supaya tidak mengabaikan kesihatan fizikal dan mental, termasuk menjalani pemeriksaan kesihatan serta mengurus tekanan kerja dengan baik.
Tambahnya, aktiviti riadah dan hobi seperti bersukan, memancing, menyanyi serta kegiatan lain mengikut minat masing-masing boleh membantu mengurangkan tekanan dalam kehidupan seharian.


