KUCHING: Pingat emas ini saya dedikasikan khas kepada sahabat seperjuangan saya yang meninggal dunia, Chung Hong Tsin, kata Ashley Irenaeus Jeck.
Wakil perseorangan Sarawak kategori WH2 itu berjaya menumpaskan pemain Selangor, Rahim Mohd Yusof straight set 21-15 dan 23-21 dalam aksi penentu juara yang berlangsung di Dewan Persatuan Badminton Negeri Sarawak, hari ini.
Ternyata aksi memukau dipamerkan anak jati Dalat Mukah itu mempunyai azam tinggi iaitu mahu menjadikan pingat emas sebagai ingatan kepada sahabatnya iaitu Chung Hong Tsin yang meninggal dunia bulan lalu.
“Kami menjadi beregu sejak 2018 dan sekali lagi menjadi beregu pada 2019, itulah kenangan terindah bersama-sama mendiang,” kongsinya kepada Arena Suara Sarawak.
Ditanya prestasinya ketika aksi final itu, Ashley memberitahu tidak mengambil mudah terhadap lawannya biarpun ia merupakan kali kedua beliau bertemu Rahim di temasya yang sama.
“Saya cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik. Pihak lawan juga bukan sebarang walaupun kami pernah bertembung pada Para Sukma 2022 dan saya memenangi perlawanan itu.
“Bersyukur kerana semua taktikal yang saya terjemahkan menjadi,” kata Ashley.
Ashley berkata, kejayaan meraih pingat emas juga sebagai dedikasi khas buat keluarga, barisan kejurulatihan dan Majlis Sukan Negara.


