KUCHING: Semangat muhibah dan harmoni rakyat Sarawak jelas terbukti apabila Padang Merdeka di sini dibanjiri sekitar 5,000 peserta, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa, untuk memeriahkan acara Sarawak Harmony Walk.
Bermula seawal jam 6 pagi, ribuan peserta berbaju putih kelihatan begitu teruja untuk memulakan acara berjalan kaki sejauh 2.4 kilometer bersama-sama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Ia dimeriahkan lagi dengan penglibatan sebanyak 12 kontinjen daripada pelbagai institusi dan organisasi keagamaan seperti Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak, Persatuan Buddha Malaysia Cawangan Sarawak, Persatuan Kuil Sikh Sarawak, Majlis Hindu Sangam Malaysia Sarawak, Perhimpunan Rohani Baha’i Sarawak, Persekutuan Persatuan Cina Sarawak serta Pusat Penerangan Islam (IIC).

Acara tahunan bertemakan ‘Unity is our calling’ itu, yang merupakan anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), bertujuan untuk mengeratkan lagi perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Program bermula dengan aktiviti tarian zumba, diikuti dengan bacaan doa yang diketuai oleh Imam Besar Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, sebelum acara berjalan kaki dimulakan.
Kemudian tepat jam 7 pagi, Yang di-Pertua Negeri mengibarkan bendera Sarawak menandakan bermulanya aktiviti berjalan, yang melintasi beberapa rumah ibadat seperti Gurdwara Sikh, Tokong Tua Pek Kong, Kuil Sri Srinivasagar Kaliamman, Katedral St Thomas dan Kateral St Joseph.
Perjalanan santai yang berlangsung sekitar 50 minit itu berakhir semula di Padang Merdeka.
Acara itu, yang juga diadakan sempena sambutan Hari Sarawak, turut dihadiri oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Pengarah UNIFOR, Datuk Jack Aman Luat, bersama-sama dengan barisan pemimpin agama yang lain.
Sempena acara itu juga, beberapa jalan utama di pusat bandar raya telah ditutup sementara, iaitu Jalan Tun Abang Haji Openg (lampu isyarat RTM) menghala ke Padang Merdeka, Jalan Haji Taha menghala ke Jalan Market, lampu isyarat St Mary menghala ke Jalan Mcdougall, lampu isyarat Jalan Pearl dan Jalan Wawasan serta Jalan Temple berhadapan Tokong Tua Pek Kong.


