‘Semangat perjuangan kami masih marak,’ kata Mahathir dan Anwar

KUALA LUMPUR: “Kami sudah berusia, masa kami sudah tidak lama. Namun semangat perjuangan kami masih marak dalam jiwa setiap anak muda yang mengimpikan reformasi.”

Demikian kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan bersama hari ini.

Dr Mahathir berusia 94 tahun manakala Anwar berusia 73 tahun. 

Kenyataan itu dikeluarkan sempena tarikh PH berkuasa pada 2018 selepas memenangi PRU-14 apabila mereka berjaya menumbangkan BN di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Jangan sesekali kita lupakan tarikh keramat 9 Mei. Tarikh jatuhnya institusi kleptokrat. Tarikh kemenangan rakyat. Tarikh lahirnya Malaysia baharu,” kata kedua-dua pemimpin itu.

Mereka bagai mencapai kata sepakat dan melupai sengketa lama.

Dr Mahathir dan Anwar menegaskan bahawa dua tahun lalu mereka berdua tidak berputus asa membawa suara rakyat.

“Masanya telah tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat rakyat ke pihak yang sepatutnya,” kata Ahli Parlimen Langkawi dan Port Dickson itu dalam kenyataan berkenaan. 

Mereka turut menegaskan mereka tidak mengiktiraf kerajaan yang ada hari ini kerana ia ditubuhkan tanpa mendapat mandat rakyat.

Mereka turut menyatakan ketika 22 bulan PH mentadbir negara ia telah melakukan reformasi dan memastikan demokrasi  subur termasuk kebebasan bersuara.