SIBU: Sembilan buah gerai makan di Taman Selera Muhibah (tapak sementara) di sini musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah TPgB II Abdul Mutalif Ja’afar berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 12.59 tengahari.

Sejurus itu katanya, 12 anggota bomba diketuai PBK II Terrance Jimbun dengan sebuah jentera FRT dan EMRS telah bergegas ke lokasi.
“Sesampai di lokasi kejadian dan setelah membuat ‘size up’ didapati kebakaran melibatkan sembilan buah gerai makanan dengan anggaran keluasan 60×30 kaki persegi dan 100 peratus terbakar,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Abdul Mutalif berkata, komander operasi telah mengarahkan anggota untuk membuat pemadaman menggunakan teknik ‘Deffensive’ dan membuat ‘Fire Break’ dengan tiga aliran 100 kaki tiga nozzle, pam jentera dan air dari pili bomba.
Setelah api dapat dikawal, katanya Komander Operasi mengarahkan anggota untuk memotong ‘Padlock’ gerai menggunakan ‘Circular Disc Saw’ untuk memudahkan membuat pemadaman di bahagian dalam gerai.

“Seterusnya anggota mengeluarkan semua tong gas ke tempat yang selamat dan kerja-kerja ‘Overhaul’ dijalankan.
“Setelah operasi berjaya ditamatkan pada jam 1.56 petang, pasukan keluaran operasi bertolak balik ke balai,” katanya.

Abdul Mutalif menambah kebakaran melibatkan tujuh gerai yang mempunyai penjaja beroperasi manakala dua gerai lagi adalah kosong (tiada operasi dijalankan).



