Semua kita penyumbang ekosistem

KUCHING: Setiap manusia adalah penyumbang utama kepada ekosistem, sekiranya tidak dijaga ia akan memberi kesan serta menjejaskan kehidupan manusia.

Demikian inti pati ceramah wakil Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar sempena seminar dalam talian Cabaran Pemuliharaan Penyu Sedunia anjuran WWF Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Manakala, Dr Achier Chung Fung Chen dari Reef Gurdian Sdn Bhd berkata, penguatkuasaan daripada pihak keselamatan penting dalam pemuliharaan hidupan marin khususnya menangani masalah seperti pencerobohan nelayan asing dan penjualan telur penyu.

“Kita telah bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar (JHL) dalam perkara ini, kerana ia penting bagi memastikan penyu dapat dijaga dan dilindungi.

“Selain itu, pemantauan oleh pihak penguat kuasa laut telah dijalankan dua kali seminggu, dan dibantu sistem pengesan radar di kawasan Pulau Langkayan,” katanya.

Sementara itu, Alexander Yee dari Walai Penyu Libaran berkata, dari segi aspek kebersihan pantai kesedaran komuniti adalah penting untuk konservasi penyu tersebut.

“Cabaran kita ialah sampah, melalui itu kita ambil langkah adakan dialog selama lima sesi dengan komuniti setempat bagi menunjukkan kesedaran dalam diri dengan diadakan pembersihan pantai secara kerap.

“Malah sejak 2015 hingga kini penyu mendarat untuk bertelur juga secara konsisten meningkat dari 65 peratus ke 75 peratus setahun, bukan sahaja faktor kebersihan pantai ia juga dipengaruhi oleh manusia dan faktor semulajadi yang lain,” ujarnya.

Yumi Chia dari S.E.A.S Scuba Junkie berkata, pihaknya memberi fokus pendedahan kepada generasi muda terhadap kepentingan langkah penjagaan penyu dan hidupan marin.

“Misalnya pihak kita bersama-sama warden hidupan liar akan memberi pendedahan kepada generasi muda setempat untuk memahami dan mendalami kepentingan penyu agar mereka menjaga khazanah marin ini melalui seminar dan program

“Melalui situasi menang-menang… ia juga melibatkan aktiviti pelancongan, komuniti dan persekitaran.

“Kita juga menasihatkan kepada komuniti, jika menemui penyu yang bertelur, dinasihatkan segera memberitahu kepada pihak kita, bagi memudahkan proses pemindahan telur ke tempat yang selamat,” katanya.

Ahli Biologi Marin Aaron Roa dari Mataking The Reef Dive Resort menjelaskan, dia menekankan pendidikan kesedaran menyeluruh kepada pelancong khasnya generasi muda yang tiba di kawasan pusat peranginan.

“Malah melalui penglibatan pihak berkuasa seperi PGA dan tentera yang berkawal di pulau ini mereka juga diberi pendedahan konservasi penyu ini.

“Misalnya bagaimana untuk melakukan pemindahan telur dengan betul jika mereka menemui ibu penyu yang sedang menetas sewaktu melakukan tugasan pada waktu malam,” katanya.

Eva Vivian Justine daripada Persatuan Pemuliharan Penyu Dearah Kudat pula memberitahu komuniti setempat di kawasan Kudat kini beperanan penting memulihara penyu.

“Misalnya melalui insiatif sendiri seperti membuat tempat penetasan telur penyu,” katanya.

Suara Sarawak