Semua mahu jadi penghantar makanan

APAKAH cita-cita kamu apabila besar nanti? Saya ingin menjadi doktor, saya ingin menjadi guru, saya ingin menjadi peguam. Ya, itulah cita-cita yang popular apabila ditanya oleh guru berkenaan dengan cita-cita. Tetapi tidak semua cita-cita pada zaman kanak-kanak ini menjadi realiti kerana masa depan sukar dijangka.

Bagaimanapun, pernahkah anda mendengar cita-cita seorang kanakkanak mahu menjadi penghantar makanan? Cita-cita menjadi penghantar makanan mungkin tidak pernah terlintas dalam setiap minda kanak-kanak. Jadi, adakah kerjaya sebagai penghantar makanan itu tiada masa depan seperti kerjaya lain?

Gara-gara Covid-19, kerja penghantar makanan sangat popular dan menjadi pilihan ramai. Pekerjaan tersebut boleh diumpamakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir setiap saat, kita dapat melihat kotak makanan berwarna hijau, merah, hitam dan kuning di belakang motosikal di jalan jaya.

Kerja sebagai penghantar makanan memberi pulangan pendapatan sampingan yang berlipat kali ganda berbanding pekerjaan lain kerana anda boleh mendapat lebih daripada RM1,000 setiap minggu. Ini yang diakui oleh seorang penghantar makanan.

Justeru, tahukah anda Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes merupakan seorang daripada penghantar makanan.

Perkara ini telah disahkan oleh Ketua airasia food Sabrina Khaw susulan gambar yang dimuat naik oleh Tony dalam laman Instagramnya pada 12 November lalu. Pasti ramai tidak menyangka pengasas syarikat penerbangan tambang murah negara ini juga rakan penghantar makanan.

Dengan sekeping gambar tersebut, ramai netizen memberi komen positif dan tidak kurang juga bertanya mengenai khidmat yang ditawarkan.

Sebenarnya, Tony hendak mempromosikan satu lagi bidang perniagaan baharu syarikat tambang murah AirAsia. Beliau juga kini masih dalam proses mendapatkan lesen motosikal B2 dan akan membuat penghantaran makanan secara mengejut pada bulan hadapan.

Syarikat-syarikat perkhidmatan penghantaran ini meraih keuntungan besar berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ramai orang menggunakan perkhidmatan mereka.

Banyak pasar raya dan restoran mula melebarkan perkhidmatan mereka dengan menawarkan khidmat penghantaran ke rumah. Jadi tidak hairanlah jika AirAsia merebut peluang untuk menceburi bidang ini.

Ketua Logistik Foodpanda Malaysia Shubham Saran berkata, jumlah penghantar syarikat itu meningkat 7.5 peratus dan permohonan kerja naik 37 peratus pada Mac lalu. Jadi, sekarang sudah pasti angka tersebut bertambah!

Ini menunjukkan, semua orang mahu menjadi penghantar makanan kerana jadual kerjanya yang fleksibel dan semakin banyak menerima pesanan, semakin tinggi upah yang diterima.

Pelaksanaan PKP dan Covid-19 ini sebenarnya membuka pintu rezeki kepada industri tersebut.

Menjadi penghantar makanan boleh dilakukan dalam banyak cara asalkan rajin. Ini yang berlaku kepada seorang penghantar makanan di FoodPanda di kawasan Satok yang berjalan kaki menghantar pesanan makanan kepada pembeli. Anda pasti ada melihat lelaki ini berjalan kaki sambil membawa beg makanan di Satok dan sekitarnya.

Kisah John Ryan Morison itu dikongsikan oleh Sarawak Community Heroes dalam laman Facebook pada minggu lalu sehingga mendapat lebih 1,600 Like dan dikongsikan sebanyak 782 kali.

Dengan gelaran FoodPanda Walker, John yang merupakan pelajar jurusan Ijazah Strategik Komunikasi di Unimas mula bertugas mulai jam 11 pagi hingga 8 malam. Beliau mahu mendapat duit poket tambahan selain bersenam.

Kecekalan penghantar makanan ini wajar dijadikan teladan khususnya anak-anak muda seperti kata peribahasa, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Namun untuk menjadi penghantar makanan menuntut seseorang itu celik teknologi maklumat kerana kini semua perkara dilakukan dengan menggunakan hujung jari.

Suara Sarawak