Senarai penuh Kuching City FC hujung tahun

SKUAD Kuching City FC akan mengumumkan senarai penuh skuad 2021 pada penghujung Disember ini.

Menurut Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman, prestasi pemain akan dinilai sepanjang Siri Jelajah Sarawak yang bermula 8 Disember ini hingga 21 Disember.

Ia membabitkan enam bahagian iaitu Sri Aman (8 Disember), Sarikei (10 Disember), Sibu (12 Disember), Mukah (15 Disember), Bintulu (18 Disember) dan Miri (21 Disember).

“Kita akan mengumumkan senarai penuh pasukan setelah mereka kembali dari siri jelajah.

“Ini bermakna, prestasi pemain akan dipantau dalam enam perlawanan tersebut,” ujar Fazzrudin yang dihubungi Suara Sarawak.

Kuching City FC memulakan sesi latihan petang Rabu lalu, di bawah kendalian bekas jrulatih skuad Piala Presiden Kuching FA, Firdaus Morshidi.

Tiga import asing, Bryan Jones, Leonardo Alves dan Hudson Dias masih berada di Brazil dan dijangka akan ke Kuching selepas perayaan Krismas. Seorang lagi pemain import ialah Yuta Suzuki, dari Jepun.

Ketua jurulatih yang baru dilantik Selasa lalu, Irfan Bakti Abu Salim akan bersama pasukan sekitar dua minggu lagi.

Menurut Fazzrudin, mereka mengekalkan import asing kerana telah menunjukkan prestasi yang membanggakan, membantu Kuching menduduki tangga keempat Liga Premier 2020 dan layak ke Piala Malaysia.

Mengenai import tempatan pula, beliau menjelaskan, ia terpulang kepada Irfan.

Yang pasti, Irfan dijangka akan mengambil dua atau tiga pemain ternama dari Semenanjung untuk mengukuhkan lagi pasukan.

Bagi musim 2020, Kuching dibarisi dua pemain dari Semenanjung iaitu Ramesh Lai Ban Huat (pertahanan) dan Mohd Iqbal (penjaga gol).

Suara Sarawak