PERSATUAN Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) masih belum memutuskan tarikh permulaan Liga Betong 2024.
Presidennya, Abang Suhordie Abang Zaini berkata, liga tersebut berkemungkinan diadakan selepas Hari Gawai.
“Tarikh untuk memulakan kempen Liga Betong 2024 belum kita tetapkan lagi.
“Namun, besar kemungkinan ia akan bermula selepas sambutan Hari Gawai 2024,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Menurutnya, berlaku kelewatan untuk memulakan saingan liga musim depan bagi mengelak berlaku pertembungan beberapa perkara yang mungkin sukar dielakkan.
“Ada tiga perayaan yang mungkin menyaksikan pertembungan masa iaitu Tahun Baru Cina (Februari), Hari Raya Aidilfitri (April) dan Gawai (Jun).
“Oleh itu, kami tidak mahu mengambil risiko berlaku penangguhan sementara saingan liga berkenaan disebabkan pertembungan masa tiga perayaan terbabit,” ujarnya. S
elain Liga Betong katanya, BDFA merancang beberapa kejohanan lain termasuk kejohanan futsal lelaki dan wanita serta menganjurkan kursus jurulatih atau pengadil.
“Satu lagi kejohanan berprestij kami (BDFA) ialah Piala Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang akan menghimpunkan pasukan yang menyertai Liga Betong 2024 dan beberapa pendatang baharu,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Abang Suhordie berkata, penganjuran Liga Betong 2024 bakal menampilkan sedikit kelainan.
“Seperti mana biasa, kita akan mewajibkan pasukan yang turut serta dalam Liga Betong 2024 menyenaraikan pemain berusia bawah 20 tahun.
“Pendekatan yang kita lakukan ini bertujuan merancakkan program pembangunan sukan bola sepak khususnya di Bahagian Betong,” kata Abang Suhordie.



