PETALING JAYA: Kepelbagaian landskap Kuala Lumpur, daripada pencakar langit hingga bangunan bersejarah tinggalan era kolonial, bukan sekadar memikat pandangan, malah menjadi simbol identiti dan kebanggaan Malaysia di mata dunia.
Keunikan itu menjadi sumber ilham buat pelukis antarabangsa dari Kerala, India, Ab Nassar Ibrahim yang menterjemahkan panorama kota raya tersebut dalam sebuah lukisan bernilai RM5,500 di pameran Fusion Art Malaysia 2025 yang berlangsung di Capital Fine Art, di sini, baru-baru ini.
Menggunakan teknik akrilik pada kanvas bersaiz 60×77 sentimeter (cm), karya itu memaparkan bangunan ikonik negara termasuk Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas, Masjid Jamek dan Merdeka 118.
Ab Nassar berkata karya tersebut dihasilkan berdasarkan pemerhatiannya sepanjang berada di Malaysia, khususnya terhadap budaya tempatan dan destinasi pelancongan yang unik.
“Saya mahu wujudkan budaya Malaysia di atas kanvas kecil. Bagi saya, Malaysia sebuah destinasi pelancongan yang indah dan saya berhajat untuk kumpulkan kesemua keindahan ini dalam satu gambar,” katanya ketika ditemui Bernama di pameran itu.
Beliau berkata lukisan itu hanya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk disiapkan namun kualiti tetap menjadi keutamaan dengan setiap elemen diekspresikan secara jelas.
“Melukis ini sangat sukar kerana kita perlu guna pelbagai kaedah untuk memastikan imej yang mahu dipaparkan dapat direalisasikan. Bagaimanapun, semua itu satu proses yang menyeronokkan dan melukis keunikan Malaysia memberikan saya pengalaman indah,” katanya.
Karya artis berusia 56 tahun itu turut menarik perhatian Pengarah Syarikat TOPCOM, Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman yang melihat lukisan tersebut sebagai paparan identiti negara yang sarat dengan nilai patriotisme.
“Lukisan ini menunjukkan tentang negara kita dalam satu gambar, ‘bercerita’ tentang sejarah kemerdekaan dan usaha memajukan negara.
“Setiap artis mempunyai gaya tersendiri dalam mengekspresikan negara melalui pandangan mereka. Cara Ab Nassar melukis ini mempereratkan lagi semangat patriotik,” katanya.
Beliau berkata harga lukisan itu setimpal dengan kreativiti, dedikasi dan pengorbanan yang dicurahkan oleh artis berkenaan.
Fusion Art Malaysia 2025 yang berlangsung dari 20 hingga 31 Dis lalu menampilkan pelbagai karya daripada artis dari 20 negara.— BERNAMA

