MUKAH: Jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa dihargai, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.

“Penghargaan terhadap anggota keselamatan bukan sekadar atas tanggungjawab yang telah dilaksanakan.
“Tetapi, ia merupakan pengiktirafan terhadap komitmen serta dedikasi mereka dalam menjalankan amanah kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Sarjan Nur bersama kakitangan Pusat Khidmat DUN N57 Tellian di Tone Cafe, di sini, malam tadi.
Dalam majlis itu, Royston menzahirkan penghargaan kepada Sarjan Nur Qamarina Abdullah yang akan menamatkan perkhidmatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah selepas berkhidmat selama lima tahun tujuh bulan sebelum meneruskan tugas di tempat baharu.

“Terima kasih atas segala khidmat bakti dan komitmen yang telah dicurahkan sepanjang bertugas di Mukah.
“Semoga segala urusan dipermudahkan, terus cemerlang di tempat baharu dan, yang lebih penting, dapat berada lebih dekat dengan keluarga,” ujarnya.
Beliau turut mendoakan agar Sarjan Nur sentiasa dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan keberkatan dalam meneruskan perkhidmatan.
Tambahnya, semangat kerjasama dan persefahaman antara pasukan keselamatan dengan pelbagai pihak perlu terus diperkasakan demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.




