KOTA SAMARAHAN: Sukan sepak takraw bukan sekadar permainan bagi kalangan peminatnya, tetapi ia adalah warisan budaya, identiti bangsa, lambang keutuhan semangat berpasukan masyarakat dan kesinambungan warisan kita.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah Haji Wang menegaskan, di peringkat antarabangsa, Malaysia begitu dikenali sebagai antara negara yang gah mempelopori sukan sepak takraw melalui penglibatan aktif dalam beberapa kejohanan seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Piala Dunia ISTAF.
Namun yang lebih penting, jelas beliau, sepak takraw menjadi wahana kepada pembangunan fizikal, mental dan sahsiah diri.
“Atas niat untuk menyambung legasi sepak takraw di Bumi Kenyalang ini, saya melihat Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) begitu komited dalam membuka ruang untuk mencari pelapis anak muda yang boleh mengemudi sukan warisan ini nanti.
“Oleh yang demikian, saya memuji langkah proaktif PSS dalam menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025 yang dilihat sebagai langkah tepat untuk memperkasakan sepak takraw agar ia kekal relevan dalam kalangan masyarakat khususnya untuk belia agar ianya tidak hilang ditelan zaman,” ujar Rubiah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersempena Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025 di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, Kota Samarahan malam tadi.
Beliau akui, bukti yang jelas apabila kejohanan dwitahunan itu disertai 10 pasukan mewakili pelbagai bahagian sedia ada.
Tambah Rubiah, apa yang paling menggembirakan ialah kejohanan kali ini turut mempertandingkan kategori belia lelaki bawah 20 tahun.
“Ini jelas membuktikan bahawa anak-anak remaja kita masih boleh dilenturkan mengikut acuan yang terbaik sekiranya mereka dibimbing dan dilatih dengan baik,” menurut beliau.
Rubiah turut menzahirkan kerisauan dengan trend dalam kalangan belia yang dilaporkan agak negatif.
“Berdasarkan laporan National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2022 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dianggarkan sekitar 26.9 peratus remaja Malaysia berusia 13 hingga 17 tahun menunjukkan tanda-tanda kemurungan.
“Hasil kajian mendapati bahawa salah satu punca utama yang dikenal pasti adalah ketiadaan interaksi sosial secara bersemuka dan kurangnya aktiviti fizikal,” katanya.
Ini jelas membuktikan bahawa sukan yang mana bukan sahaja memberi manfaat kepada jasmani, tetapi turut menyumbang secara signifikan kepada kesihatan mental dan kesejahteraan sosial.
Apa pun, beliau lega kerana terbukti bahawa anak-anak Sarawak ini bukan sahaja aktif dan berdaya saing dalam sukan, malah memiliki kesihatan fizikal dan mental yang terbaik.
“Sesungguhnya inilah wajah-wajah harapan yang bukan sahaja akan mengharumkan nama negeri ini, bahkan bakal menempa nama di persada antarabangsa,” jelas beliau lagi.

